![]() |
heart.beats.fast. colors and promises. how to be brave..? |
Kate hatiku,
http://eiykinsshi.blogspot.com/
Life is too short to wake up with regrets.
So love the ones who treat you right.
Forget about the ones who don't.
Believe everything happens for a reason.
Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.
Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala. Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?
Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.
Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor kecil untuk solat, dan dia sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo.
Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya. Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki.
Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.
Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.
Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.
Tetapi lelaki yang baik, jika tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok-belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.
Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.
Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita. Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita sebagai wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.
Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.
Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.
Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia. Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.
Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua. Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.
Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.
Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa. Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama.
Sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki yang mereka cintai.
Semoga mereka tak tersalah pilih. Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.
Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.
Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.
Dan kerana tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.
Tetapi kerana ciptaan tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.
Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya. Tetapi kerana fitrah kejadian tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.
Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.
Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik. InsyaAllah.
Nur Izzah, seorang pelajar undang-undang di Kolej Safir merasakan hidupnya tertekan kerana silih-berganti masalah yang perlu dihadapinya. Sudah sampai tahap 'horror'. Maka, Nur Izzah pun mengadu hal ini kepada bapanya, seorang Chef tersohor di mata dunia, bernama Chef Jay.
Di dalam dapur yang sentiasa berasap, Chef Jay mengambil 3 biji periuk 'stainless steel' yang berisi air paip dan memanaskannya di atas dapur gas yang kuat apinya.
Nur Izzah kelihatan bingung melihat gelagat ayahnya, Chef Jay itu. Apabila air di dalam periuk tersebut kelihatan mulai menggelegak, Chef Jay memasukkan lobak merah, telur ayam kampung dan 5 sudu besar serbuk coklat panas jenama Galaxy ( memang sedap), setiap satunya ke dalam periuk yang berasingan.
Nur Izzah menarik muka masam. Dia tidak merasakan ayahnya memahami masalahnya. Selepas beberapa ketika, Chef Jay mengangkat lobak merah dan telur ayam kampung ke dalam dua mangkuk dan menuangkan coklat panas ke dalam gelas. Dialog antara ayah dan anaknya pun bermula.
Chef Jay : Apa yang Izzy (nama manja) nampak?
Nur Izzah : Lobak merah, telur ayam kampung dan coklat panas...
Chef Jay : OK... cuba Izzy rasa lobak merah, kupas telur ayam kampung dan hirup sedikit air coklat panas tu... lepas tu... beritahu ayah apa yang Izzy rasa.
Nur Izzah : Hmmm... lobak merah tu lembut dan senang dikunyah, telur ayam kampung tu sebelum masak dalamnya cair (mentah) tapi bila dah rebus jadi keras dan yang paling sedap air coklat panas tu yang begitu enak ketika panas. Tapikan... kenapa ayah buat macam ni???
Chef Jay : Sesungguhnya, dengan memasak pun boleh menyelesaikan masalah Izzy tu. Ketiga-tiga bahan tu memberikan tindak balas yang berlainan terhadap air panas yang menggelegak. Lobak merah yang pada mulanya keras menjadi lembut bila direbus. Telur ayam kampung pada mulanya isi dalamnya cair, tetapi menjadi keras apabila direbus. Coklat panas itu pula tidak enak dimakan begitu sahaja, tetapi enak diminum panas-panas apabila dibancuh dengan air panas.
Nur Izzah : Jadi apa kaitannya dengan masalah Izzy ni? Izzy tak faham.
Chef Jay : Air yang panas menggelegak itu umpama semua masalah Izzy dan ketiga-tiga bahan itu menggambarkan yang mana satukah Izzy nak jadi. Jangan jadi seperti lobak merah, pada mulanya keras (kuat) tetapi lembut (lemah) apabila di rebus di dalam air panas (masalah). Jangan jadi seperti telur ayam kampung isi dalamya cair (umpama hati yang lembut dan boleh di bentuk), tetapi apabila direbus menjadi keras (hati menjadi keras umpama batu) walaupun daripada luar kelihatan masih sama. Jadilah seperti coklat panas itu, menukar air panas itu dan menjadi air coklat panas yang enak. Begitulah Izzy yang sepatutnya, jadikanlah masalah itu sesuatu yang memberi manfaat dan pengalaman yang berharga di dalam hidup, moga-moga kita lebih matang dan bijak menghadapi masa hadapan.
Nur Izzah menitiskan air mata terharu mendengar nasihat ayahnya itu... Seakan-akan muncul semangat baru di dalam diri Nur Izzah untuk terus mara ke hadapan.
Sahabat-sahabatku sekalian...
Ujian adalah Tarbiyyah daripada Allah s.w.t.
Berilah pertolongan kepada mereka yang bermasalah walaupun hanya sekadar mendengar masalah mereka.
Moga-moga kita dirahmati Allah s.w.t. Amin...
:)
Begitulah juga ......... Setelah kamu memberi banyak PENGHARAPAN kepada seseorang... Setelah ia mulai MENYAYANGIMU hendaklah kamu MENJAGA hatinya.... Janganlah sesekali kamu meninggalkannya begitu saja.... Kerana dia akan TERLUKA oleh kenangan bersamamu dan mungkin TIDAK dapat MELUPAKAN segalanya selagi dia mengingatmu....
Jika kamu menadah air biarlah berpada, jangan terlalu mengharap pada takungannya dan janganlah menganggap ia begitu teguh.... cukuplah sekadar keperluanmu.... Apabila sekali ia retak.... tentu sukar untuk kamu menambalnya semula.... Akhirnya ia dibuang.... Sedangkan jika kamu cuba memperbaikinya mungkin ia masih dapat dipergunakan lagi....
Begitu juga jika kamu memiliki seseorang, TERIMALAH seadanya.... Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan janganlah kamu menganggapnya begitu istimewa.... Anggaplah dia manusia biasa. Apabila sekali dia melakukan KESILAPAN bukan mudah bagi kamu untuk menerimanya.... akhirnya kamu KECEWA dan meninggalkannya. Sedangkan jika kamu MEMAAFKANNYA boleh jadi hubungan kamu akan TERUS hingga ke akhirnya....
Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi... yang kamu pasti baik untuk dirimu. Mengenyangkan. Berkhasiat. Mengapa kamu berlengah, cuba mencari makanan yang lain.. Terlalu ingin mengejar kelezatan. Kelak, nasi itu akan basi dan kamu tidak boleh memakannya. Kamu akan menyesal.
Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan..... yang pasti membawa KEBAIKAN kepada dirimu. MENYAYANGIMU... MENGASIHIMU... Mengapa kamu berlengah, cuba MEMBANDINGKANNYA dengan yang lain. Terlalu mengejar kesempurnaan. Kelak, kamu akan KEHILANGANNYA apabila dia menjadi milik orang lain Kamu juga yang akan MENYESAL....
Dia wanita yang rela berkorban apa sahaja kecuali satu, dia tak mahu dirinya disentuh sebelum kami memiliki ikatan yang sah . Dan atas sebab yang satu itu aku rasa dia perempuan yang membosankan. Nak pimpin tangan pun tak boleh. Apatah lagi nak peluk. Ada pun bergesel bahu itu pun sebab aku yang sengaja. Sampai satu tahap aku rasa dia sangat membosankan. Aku cemburu tengok kawan-kawan aku boleh pegang tangan awek diorang. Tapi aku? Bila aku cakap macam tu, dia cuma senyum dan cakap pada aku, “Belum tentu perempuan yang sentuh boyfriend dia tu sayang boyfriend dia lebih dari saya sayang awak… Belum tentu perempuan tu ada masa susah senang boyfriend dia macam saya ada untuk awak…
Yang nyata, aku langsung tak setuju jawapan dia tu. Aku tengok pasangan lain bahagia, sudah tentu girlfriend kawan-kawan aku sayangkan mereka sebab girlfriend masing-masing membelai kawan-kawan aku dengan penuh kasih sayang. Tapi aku? Jangan harap. Balik-balik jawapan yang sama. Tunggu lepas kahwin. Aku bosan tahu tak! Sampai satu masa aku dah tak tahan lagi. Aku minta kami berpisah. Aku nampak air matanya berlinang tapi sikit pun aku tak rasa kasihan.
“Mungkin kita tak ada jodoh. Awak lelaki yang baik. Awak berhak dapat perempuan yang lebih baik. Saya nak awak janji dengan saya satu benda, untuk kali terakhir. Satu hari nanti bila awak jatuh cinta dan awak betul-betul sayangkan dia, hargai perempuan tu. Mudah-mudahan perempuan tu akan sayang awak, terima awak seadanya, hormati awak sebagai lelaki dan yang paling penting bahagiakan awak. Saya akan bahagia tengok awak bahagia,” tu kata-kata terakhir dia untuk aku. Dia senyum walaupun air mata berlinang.
Argh! Tak habis-habis nak tunjuk mulia. Bosanlah dengan perempuan macam ni. Malas aku menghadap dia lama-lama. Cepat-cepat aku nak blah dari situ. Tiba-tiba ada bunyi hon dan sedar-sedar aku sudah tersungkur di seberang jalan. Satu dentuman yang kuat bergema dan aku lihat dia terbaring di hadapan sebuah kereta. Dia selamatkan aku! Lelaki yang dah menyakitinya! Darah membuak-buak keluar dari kepalanya. Ambulans datang dan membawa aku dan dia pergi.
Di hospital keadaan kelam kabut. Dia perlu dibedah segera kerana kecederaan teruk di kepala. Ramai kawan-kawan dan keluarganya turut ada sama. Aku tengok seorang wanita yang hampir sebaya ibuku menangis. Mungkin ibu dia. Mengalirnya air mata seorang ibu kerana aku. Rasa bersalah menimpa aku. Aku dah sakiti dia tapi dia rela berkorban nyawa untuk aku. Aku berdoa semoga dia selamat. Semoga aku sempat meminta maaf. Semoga masih ada ruang dalam hati dia untuk aku. Dia sangat baik. Aku tak mahu kehilangan dia. Dia ikhlas sayangkan aku.
Selepas beberapa jam pembedahan selesai. Dia berada di dalam ICU. Dia koma, tapi doktor kata dia masih mampu mendengar. Tiba-tiba seorang kawannya menghampiri aku. Kawannya menghulurkan sesuatu. “Aku rasa benda ni dia nak bagi pada kau,” hanya itu yang gadis itu ucapkan pada aku. Kawannya terus berlalu selepas itu. Pandangan kawannya pada aku penuh benci. Tahukan kawan dia tentang kejadian sebenar? Yang nyata aku tak pernah mahu berbaik dengan kawan-kawan dia. Pernah juga dia bersuara tentang hal itu tapi aku sekadar buat tak tahu.
Pulang sahaja aku buka bungkusan itu. Pasti hadiah untuk hari lahirku. Hari lahirku dua minggu lagi. Balutan kertas itu kubuka dan di dalamnya ada botol kaca berbentuk hati. Di dalam botol itu penuh dengan origami berbentuk bintang. Ada kad kecil berwarna biru kegemaranku. Aku sebak membaca bait-bait dalam kad itu.
“Dalam origami bintang ni ada kata-kata saya untuk awak. Awak buka setiap hari SATU sahaja. Mungkin saya tak dapat nak hubungi awak setiap hari sebab kesibukan kerja. Tapi, bila awak baca setiap hari, anggaplah setiap hari saya berhubung dengan awak. Saya nak awak tahu setiap masa awak ada dalam hati saya. Happy Birthday sayang…”
Aku buka botol kaca berbentuk hati itu dan kuambil satu bintang. Kubuka origami itu dan di dalamnya tertulis, “Love is like a poisonous mushroom. You don’t know if it is the real thing until it is too late..” Aku tersenyum sendiri. Aku buka lagi bintang yang seterusnya. Walaupun dia meletakkan syarat satu hari cuma satu. Di dalam semua origami itu penuh kata-kata semangatnya untuk aku dan suara cintanya yang ikhlas. Demi Allah, sepanjang aku bergelar lelaki dewasa, inilah pertama kali aku menangis semahunya. Air mata aku tak berhenti mengalir sepanjang membaca kata-kata dalam origami itu sehingga habis semuanya kubaca. Aku telah menyakiti seorang wanita yang luhur.
Aku melawatnya di hospital. Walaupun mukanya penuh calar, bibirnya pucat dan kepalanya berbalut, dia tetap cantik di mata aku. Dia bukanlah wanita yang memerlukan make up tebal kerana dia memiliki kecantikan asli. Atas sebab itu aku menghalangnya terlalu rapat dengan mana-mana lelaki kerana gusar jika ada yang tertarik. Dia sekadar menurut. Demi menjaga hati aku. Aku capai tangannya yang berselirat dengan pelbagai wayar yang aku pun tak tahu. Sejuk tapi betapa lembutnya tangannya. Pertama kali aku menyentuhnya.
Aku bisikkan ketelinganya, “Sayang..saya datang… Cepatlah sedar. Saya rindukan awak. Saya banyak bersalah pada awak. Saya minta maaf,” pertama kali aku minta maaf darinya. Tiba-tiba denyutan nadinya jadi tidak menentu. Aku panic.
“Hei, apa yang kau dah buat pada dia? Tak cukup kau sakiti kawan aku?” jerkahan kawannya mengejutkan aku. Doktor dan beberapa jururawat bergegas masuk dan aku diminta keluar.
Setiap hari aku berdoa supaya dia cepat sembuh, cepat sedar. Aku gusar sekiranya Allah mengambil nyawanya. Bukan aku tidak redha dengan ketentuan, aku sedar aku masih perlukan dia. Aku sayangkan dia. Genap dua minggu, aku mendapat berita dia sudah sedar. Aku bersyukur. Inilah hadiah hari lahir yang paling bermakna untuk aku. Dia juga sudah dipindahkan ke wad biasa. Aku mahu melawat dia. Aku rindu senyuman dia.
Aku mendapat panggilan telefon yang meminta aku mengambil tempahan. Namun kerana terlalu gelojoh, aku terlanggar botol kaca bentuk hati pemberian dia. Ah, semuanya akan aku uruskan nanti. Aku biarkan serpihan kaca bertaburan di lantai.
Tak sangka dia menempah kek khas untuk aku. Dia atas kek itu tertera bahagian belakang jersi pasukan bola sepak kegemaranku, Arsenal berserta namaku dan nombor kegemaranku. Aku senyum sendiri. Bahagianya aku.
“Abang bertuah. Girlfriend abang cakap dia tak tahu apa-apa fasal bola. Dia cuma tahu pasukan apa yang abang minat dan nombor yang abang suka. Sebab tu dia tempah kek ni khas untuk abang dan minta abang ambil sebab dia nak buat surprise. Dia cakap
dia nak makan kek ni dengan abang. Kakak tu cantik, baik pulak tu. Abang kirim salam pada akak ya? Abang jaga akak tu elok-elok,” ramah gadis yang bekerja sebagai juruwang di kedai itu memberitahuku. Aku senyum sepanjang jalan ke hospital.
Sampai di hospital aku lihat dia sedang duduk di atas katil. Tiada sesiapa bersamanya. Dia sekadar termenung. Aku senyum padanya. Dia seakan terkejut melihat aku datang. Aku terfikir juga, boleh ke orang sakit makan kek? Tapi kan dia nak makan kek ni dengan aku.
“Sayang.. terima kasih kek ni. Saya happy sangat awak dah sedar. Adik cashier kedai tu kirim salam pada awak. Dia cakap awak nak makan kek ni dengan saya. Saya suapkan ya?” aku suakan sudu pada dia. Tapi sesuatu yang aku tak pernah duga, dia tepis tangan aku sampai sudu terpelanting ke lantai. Dia tak pernah kasar dengan aku. Dia selalu melayan aku dengan lembut. Aku pernah cuba pegang tangan dia pun dia tolak dengan baik. Mungkin dia terlalu terluka dengan aku.
“Baliklah. Saya makin sakit tengok awak. Bawak balik kek tu sekali. Saya tak nak tengok apa-apa berkaitan awak lagi,” pantas dia menarik selimut menutup muka. Aku terkedu sendiri. Dia tak mahu pandang aku lagi. Hati dia dah tertutup untuk aku. Dia tak pernah macam ni. “Baliklah. Saya makin sakit tengok awak. Bawak balik kek tu sekali. Saya tak nak tengok apa-apa berkaitan awak lagi,” pantas dia menarik selimut menutup muka. Aku terkedu sendiri. Dia tak mahu pandang aku lagi. Hati dia dah tertutup untuk aku. Dia tak pernah macam ni.
Selang beberapa hari, aku datang lagi tapi katil dia sudah kosong. Aku risau jika apa-apa yang buruk berlaku padanya. Dari jururawat aku tahu dia sudah dibenarkan pulang kerana keadaanya sudah stabil. Tapi yang mebuatkan jantung aku hampir gugur bila jururawat itu memberitahu dia masih menjalani rawatan susulan dan terapi kerana dia lumpuh. Dia lumpuh kerana aku!
Itu semua tiga tahun yang lalu. Sejak kejadian tu aku tak pernah jumpa dia lagi. Tahu apa-apa khabar berita pun tidak kerana aku memang tak pernah nak berbaik dengan kawan-kawannya. Walaupun sudah tiga tahun tapi aku masih merinduinya. Aku tak jumpa wanita yang mampu menyayangi aku lebih dari dia. Ah, panjangnya menung aku sampai nasi di hadapan mata sudah hampir dingin.
Baru aku hendak menyuap makanan ke dalam mulut, mataku terpaku pada satu wajah yang duduk selang beberapa meja dari aku. Dia? Aku pasti tu dia. Senyum dia masih sama. Tapi keadaan tidak lagi serupa. Dia sedang makan bersama lelaki lain.
Sesekali aku lihat dia mengusap perutnya. Dia mengandung. Maknanya dia sudah kahwin. Dan aku lihat lelaki yang juga makan di sebelahnya mengusap-usap tangan dia. Pasti itu suaminya. Dan aku sedar aku tak setanding suaminya sebab lelaki itu kelihatan lebih serba-serbi dari aku. Air mataku rasa ingin mengalir. Senyuman mahal milik dia yang dulu cuma untuk aku kini khas buat lelaki lain.
Suaminya lelaki bertuah. Itu aku tak nafikan. Cuma suaminya yang dapat menyentuhnya. Cuma suaminya yang dapat melihat apa yang terlindung. Dan aku sangat pasti, cuma suaminya yang mendapat takhta paling agung dalam hatinya yang suci.
Dia seperti botol kaca berbentuk hati yang pernah diberikan padaku dulu. Botol itu sudah pecah, namun aku sudah ganti dengan yang baru. Yang sama tapi tak serupa. Botol yang lama dipilih oleh dia dan yang baru dipilih oleh aku. Walapun aku masih menyimpan serpihan kaca botol itu, bentuknya tak lagi sama macam dulu. Dan sangat mustahil untuk kembali seperti dulu.
Pesanan buat semua lelaki, hargailah wanita yang menyayangi kamu. Jangan jadi macam aku. Matanya sangat cantik tapi aku selalu biarkan dia mengalirkan air mata dengan perbuatanku. Hidungnya yang kecil dan comel selalu aku sesakkan dengan asap rokokku walaupun aku tahu dia tak suka dan asap rokok boleh buat dia sakit kepala. Bibirnya sangat indah tapi aku selalu biarkan bibir itu tersenyum paksa kerana mangalah dengan setiap kemahuanku. Telinganya aku tak pernah nampak, terlindung, tapi telinga itu sering aku biarkan menerima segala marahku. Hatinya sangat lembut, dan aku selalu toreh dengan belati tajam dan aku biarkan dia merawat sendiri luka itu. Akhirnya, aku hanyalah lelaki ego yang tak memiliki apa-apa kerana dia sudah dimiliki orang lain.
Masyitah
Kau mentari hatiku,
Menyinar terang gelita hidupku,
Kau sinar penyaman kalbu,
Lapang senang datang menyerbu.
Kau mentari hatiku,
Di dalam jiwa hanya satu,
Kau sumber tenagaku,
Memancar kekuatan dalam langkahku
Kau mentari hatiku,
Menyinar terang gelita hidupku,
Maka teruslah dikau menyinarkan cahaya
Ibarat Masyitah di zaman Musa
Yang teguh terjun ke dalam didihan syurga
Ya Allah letihnya! Hariz Arifi membentak di dalam hati. Tali leher yang sudah dilonggarkan, ditarik. Kunci kereta dicabut dari tempatnya. Briefcase diambil dari tempat duduk belakang sebelum dia membuka pintu dan keluar dari Camrynya.
Kerja yang banyak di universiti tadi membuatkan kepalanya macam sedikit berpinar. Perlahan-lahan dia menarik nafas menghirup udara segar
halaman rumahnya yang menghijau. Sebelah tangan yang tidak memegang beg dilarikan ke belakang leher, mengurut-ngurut perlahan.
“Ish,ish. Kenapa gaya macam tak makan setahun sahaja ni?” Satu suara lembut menyapa gegendang. Pantas Hariz menoleh ke arah pintu rumah. Matanya terus terpaku di situ.
Seorang perempuan bercermin mata, bertudung labuh, bersama baju lengan panjang yang labuh dan seluar riadhah. Nampak sederhana. Mungkin sahaja orang lain akan menyatakan bahawa perempuan ini biasa sahaja, tiada yang istimewa. Tetapi untuk Hariz Arifi, wanita di hadapannya kini adalah satu-satunya bidadari yang wujud di atas dunia yang fana ini.
Tanpa sedar, kakinya melangkah ke arah perempuan itu. Wanita itu sedikit terkejut melihat Hariz Arifi yang semakin mendekat dengannya. Beberapa langkah kemudian, jarak antara Hariz Arifi dengannya sudah tinggal sejengkal sahaja. Dia terpaksa mendongak sedikit untuk memandang Hariz Arifi yang lebih tinggi berbandingnya.
“Kenapa?” Perempuan itu bertanya teragak-agak. Kebisua
n Hariz Arifi membuatkannya tertanya-tanya.
Hariz Arifi meletakkan beg di tangan. Kemudian memandang sekali lagi perempuan itu sedalam-dalam. Perempuan itu mengangkat kening. Ada apa-apa yang tidak kenakah? Hati bertanya.
Tiba-tiba Hariz Arifi menggores senyum. Terus dipeluk perempuan itu seerat-eratnya.
“Tata, rindunya saya pada awak!” Sambil menggoyangkan tubuh perempuan itu sedikit ke kiri dan ke kanan.
“Apa buat gaya seribu tahun tak jumpa ni? Terhantuk stereng kereta? Malulah kalau orang nampak. Kita di hadapan rumah ni.” Perempuan itu terkejut dengan reaksi Hariz Arifi. Spontan kedua belah tangannya bereaksi untuk menolak tubuh Hariz Arifi. Hariz Arifi perlahan-lahan meleraikan rangkulannya. Senyumannya masih belum hilang. Mata mereka berdua bertemu.
“Tata, bila tengok muka awak, semua kepenatan saya hilang.” Hariz mencubit kedua belah pipi perempuan di hadapannya.
“Yalah tu. Cukup-cukuplah jiwang karat awak tu. Lemas saya.” Perempuan itu menarik kedua belah tangan yang mencubit pipinya, kemudian menunduk mengambil beg Hariz Arifi tadi.
“Lagi satu, sejak bila nama saya jadi Tata ni ha? Ingat Bas Tata MATRI ke?” Dia mencebik sebaik sahaja berdiri tegak semula.
Senyuman Hariz Arifi semakin lebar. “Masyitah, jadi Tata. Itu panggilan manja saya pada awak.”
“Tak naklah. Ada patut Tata.” Perempuan yang bernama Masyitah itu berpaling dan perlahan-lahan melangkah masuk ke rumah.
“Comel apa Tata. Kiut.”
“Habis tu, awak saya panggil Haha nak tak?” Masyitah memandang Hariz Arifi yang kini berjalan beriringan dengannya ke bilik.
Pecah ketawa Hariz. “Comel jugak tu. Tata dan Haha. Kalau ini status Facebook, saya dah ‘like’ awal-awal.”
“Senget.” Hariz ditolak lembut. Akhirnya Masyitah juga ketawa.
“Saya tak mahu Tata. Saya nak Masyitah. Harapnya, boleh menjadi Masyitah seperti di zaman Musa.”
Tawa Hariz Arifi terhenti. Bertukar dengan senyuman manis.
“Saya sentiasa doakan awak semoga mampu mencapainya. Tiara Masyitah.”
Masyitah turut tersenyum.
Sampai di hadapan tangga, Masyitah hendak naik tetapi Hariz
menuju ke dapur.
“Eh, nak pergi mana? Tak nak naik dulu?”
Langkahan Hariz terhenti. Matanya menyapa wajah Masyitah. Kemudian perlahan-lahan dia menggeleng. “Puan Masyitah, saya nak pergi memasak. Saya tahulah awak kaki diet. Tapi takkan tak nak makan langsung? Tak benarkan saya ke dapurkah?” Dan tanpa menunggu jawapan, Hariz Arifi bergerak ke dapur meninggalkan Masyitah dengan senyuman.
Masyitah menggeleng.
Baru tadi muka macam orang tak makan seribu tahun.
Balik memasak pula? Ini yang aku tak nak dulu. Ish…
Akhirnya langkahan dikorak naik ke atas untuk meletakkan beg, tidak menghiraukan desiran di dalam hati. Namun perasaan itu tidak akan hilang begitu sahaja. Semestinya.
Memang namanya Masyitah.
Tetapi dia bukanlah sebaik Masyitah di zaman Musa. Hanya berharap untuk menjadi sepertinya sahaja. Belum tahu mampu mencapainya atau tidak.
*****
“Kahwin dengan Hariz Arifi?” Matanya membesar. Terkejut.
“Em, dia berhajat kepada Masyitah. Apa pandangan Masyitah?” Ibu bertanya lembut.
“Eh, tak naklah!” Segera dia menjawab.
“Kenapa?”
“Er…” Macam mana hendak menjawab soalan ‘kenapa’ ini ya? Sepatutnya pertanyaan itu dilontarkan kepada Hariz Arifi. ‘Kenapa’ dalam banyak-banyak perempuan di dunia ini, dia yang menjadi pilihan hati?
“Syitah tak sedia la Ibu. Syitah muda lagi. Baru habis SPM. Lagipun…” Ibarat bertih jagung, pantas dia memberikan alasan. Hatinya macam dihimpit-himpit dengan tekanan yang amat berat.
“Lagipun?”
“Dia Hariz Arifi. Ibu bukan tidak kenal siapa Hariz Arifi.”
Ya. Hariz Arifi. Beberapa tahun lebih tua daripadanya. Masyitah kenal akan dia. Merupakan senior di sekolah lamanya. Tetapi kini, bukan sedikit orang yang mengenali nama itu. Umur masih muda tetapi pemikirannya kadangkala menakjubkan veteran-veteran di dalam kehidupan. Gerak langkah pemuda itu pantas. Kerja pemuda itu adalah memperbaiki dirinya sambil mengajak manusia kembali kepada Allah SWT. Semua itu dilakukan semasa belajar di luar negara. Hari ini nama itu semakin meningkat naik di Malaysia. Hampir semua kawan-kawan Masyitah mengenalinya. Begitu juga dengan jiran-jirannya.
Kahwin dengan orang macam itu?
Mampukah aku?
Diri banyak perkara masih belum diperbaiki. Masih rasa terlalu muda untuk segala tanggungjawab. Masih rasa ingin berseronok itu dan ini. Kahwin? Umur baru 18!
Serabut kepala memikirkannya.
Kenapa tak pilih mana-mana pembawa usrah di sekolah mereka dahulu yang kini masih aktif di universiti masing-masing?
Kenapa dia?
“Ibu, tolaklah ya?”
Ibu menghela nafas. “Baiklah Masyitah. Ibu ikut sahaja apa yang Masyitah senangi. Tetapi Ibu sukalah dengan Hariz tu.”
Masyitah diam. Masalahnya, aku tak mampu. Muda lagi. Itu satu hal. Hal yang lebih besar lagi, adalah aku ini tak sama macam Hariz itu. Aku tidak sebaik Masyitah penyisir rambut anak Firaun!
Pap!
Lamunan kenangan yang terimbas itu pecah begitu sahaja. Kedua belah telapak tangan Hariz yang bersatu di hadapannya. Terus ditolak lelaki itu. “Awak!”
“Termenung apalah tu sampai saya datang pun tak perasan. Teringat saya ya?”
“Tekan lif naik sendirilah.” Masyitah memuncung. Matanya kembali kepada nota-nota di atas meja jepun. Sempat bola matanya menyapa buku-buku yang berselerak dan komputer riba yang hidup di tempat yang sama. Penuh meja jepun itu denganbarang-barang studinya.
Hariz menarik garisan manis pada bibir. Tubuhnya dirapatkan dengan tubuh Masyitah.
“Ini kenapa ni? Encik Hariz Arifi, Tiara Masyitah mahu studi ni. Minggu depan saya final exam.”
“Garangnya.” Pipi Masyitah ditarik lembut.
“Ish!” Tangan itu ditepis. Hariz ketawa.
“Awak, dari kacau saya, baik awak buat tesis awak tu. Kata nak habis Masters sama-sama dengan saya graduasi.”
“Tesis saya sudah hampir siap. Itu sebab saya kacau isteri yang ter’chenta’ ini.”
“Jahat!” Pantas sebelah tangan Masyitah mencari pinggang Hariz. Hariz mengelak dengan segera. Akhirnya mereka berdua ketawa. Masyitah sampai menggeleng.
“Tadi terfikir apa? Saya keluar dapur, masuk dapur, keluar dapur semula awak masih termenung lagi. Susah sangat studi sampai terfikir nak melancong ke Zargus ke?”
“Ada pula macam itu. Ingat orang studi sampai sewel?” Masyitah sengih.
“Manalah tahu.”
“Teringat masa awak propose saya pada Ibu.”
“Oho.”
Suasana jadi sepi sebentar. Bunyi desiran kipas mengisi ruang.
“Akhirnya kahwin juga kita ya?” Hariz menatap Masyitah.
Masyitah mengangguk perlahan. Perkahwinan mereka baruberusia setahun setengah. Hariz Arifi sudah hampir menamatkan mastersnya, manakala Masyitah pula sudah hampir menyelesaikan ijazahnya.
“Menyesal tak?” Tiba-tiba Masyitah melontarkan soalan, mengundang angkatan kedua-dua kening Hariz Arifi.
“Menyesal?”
“Kahwin dengan saya?”
Hariz Arifi tersengih. Kemudian menggeleng. “Tak pernah menyesal.”
“Betul? Kahwin dengan orang tak pandai masak, tak solehah, tak menonjol dalam dakwah dan tarbiyah,” Masyitah mengangkat satu persatu jarinya seakan membilang. Hariz setia mendengar.
“Tak hafal Al-Quran banyak, tajwid pun tak hebat, asyik kena kejut Subuh hari-hari, ibadah sunat kurang, Tak lovely, asyik studi sahaja, Tak pandai layan awak, tak…” Dan bicara Masyitah terhenti di situ. Jari telunjuk Hariz Arifi sudah melekat pada bibirnya. Mata mereka bertemu.
“Saya tak perlukan semua itu. Bukankah saya sudah kata sebelum kahwin, yang saya mahu daripada awak hanyalah awak berada di sisi saya sahaja. Saya tidak minta lebih daripada itu.” Jari telunjuk itu diturunkan. Kedua belah tangan kini mencari tangan Masyitah. Memegang erat tangan lembut itu.
“Untuk saya, cukup sekadar awak bernafas di sisi saya. Biar saya yang masak, biar saya yang kemas rumah, biar saya yang baca Al-Quran untuk awak, biar saya yang hari-hari kejut awak Subuh, biar saya yang lovely, biar saya yang caring, biar saya yang asyik layan awak. Biar saya semua.” Hariz Arifi menyempurnakan bicara.
“Saya bukan Masyitah di zaman Musa. Setahun setengah ini, banyak saya sudah susahkan awak. Lebih-lebih lagi hal dakwah dan tarbiyah. Sahabat-sahabat lain yang macam awak, isteri mereka semua hebat-hebat. Semua ke hadapan sama-sama. Saya…” Masyitah menunduk.
“Mana ada awak tak bantu dalam dakwah dan tarbiyah?”
“Eh? Ada saya bantu?” Masyitah berfikir. Ada bagi ceramah? Tak ada. Ada bagi idea? Pun tak ada. Ikut program sebagai orang biasa sahaja adalah. Menjadi penggerak, pemikir, tak pernahlah pula.
“Ada. Bila awak ada di sisi saya, saya jadi kuat. Bila saya jadi kuat, saya lebih bersemangat dalam melaksanakan dakwah dan tarbiyah. Bila saya bersemangat melaksanakan dakwah dan tarbiyah, kerja-kerja dakwah dan tarbiyah berjalan lebih lancar. Bila kerja-kerja dakwah dan tarbiyah berjalan lebih lancar, insyaAllah ramai orang akan mendapat manfaat.”
Masyitah terpana. Garis manis pada bibir Hariz tidak pudar. Tangan Hariz semakin erat memegang tangan Masyitah.
“Bukankah awak telah membantu? Tak puas hati lagi?” Hariz merapatkan dahinya ke dahi Masyitah. Wajah Masyitah kemerahan.
“Tapi…”
“Tak ada tapi-tapi lagi. Eh, kenapa la awak fikir benda ini hari ini? Sudahlah. Minggu depan hendak final exam. Nanti serabut kepala otak. Mari makan. Saya sudah siap hidang di dapur tu. Hari ini saya masak special. Sotong masak sambal kegemaran awak.” Hariz bangun.
Masyitah diam. Tidak mampu berkata apa-apa.
“Lah. Bangun pun nak saya tolong? Romantiknya.” Hariz menghulurkan tangan apabila Masyitah tidak bangun-bangun.
Masyitah mencebik. “Senget.” Masyitah menyambut tangan Hariz, dan suaminya itu membantu dirinya bangun. Mereka berjalan beriringan ke dapur.
Hariz ketawa. Di dalam hatinya dia bahagia. Bahagia apabila bidadari jiwanya bahagia. Tiada apa yang lebih mendukakannya melainkan kedukaan bidadari jiwanya ini.
Entah mengapa Allah memberikan perasaan ini kepadanya.
Kepada seorang Tiara Masyitah.
*****
“Dijemput pasangan suami isteri Dr Ali Zahidi dan Dr Maryam
Umairah!”
Sepasang suami isteri berjalan beriringan sebaik sahaja pengerusi majlis melaung nama. Tepukan kedengaran memenuhi dewan.
“Kini dijemput pula, Hariz Arifi, motivator kita.”
Hariz Arifi bangun dari kerusi yang telah dikhaskannya di barisan hadapan.
“Maaf ya awak. Saya malu nak ke hadapan.” Masyitah menarik hujung kot Hariz.
Hariz menarik senyuman. Menggeleng. “Awak ada ini pun sudah cukup.” Tangannya menyentuh pipi Masyitah.
Langkah diatur menaiki pentas. Ada empat kerusi untuk ahli panel sebenarnya. Majlis ini adalah perkongsian dua pasangan suami isteri. Tetapi satu kerusi kosong. Itu sebenarnya tempat buat Masyitah.
“Maaf, bidadari saya sangat pemalu. Jadi saya kira saya seorang sahaja di atas ini.” Hariz membuat gaya ‘peace’.
“Lagipun, saya takut ter’overshadow‘ pasangan Abang Ali Zahidi dan Kak Maryam Umairah saya ini.” Matanya memandang pasangan suami isteri di sebelahnya, sambil tangan menyapa lengan Dr Ali Zahidi. Seniornya ketika di sekolah dahulu.
Ucapannya disambut tawa dewan. Dr Ali Zahidi menyambut gurauan itu dengan senyuman. Begitu juga Dr Maryam isterinya.
Forum Baitul Muslim yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa anjuran NGO bernama HALUAN itu bermula.
*****
“Macam mana?” Soalan dikeluarkan.
“Macam mana apa?” Hariz memandang Dr Ali Zahidi.
“Macam mana hidup dengan Masyitah?” Dr Ali Zahidi menunjuk kepada meja perempuan. Kelihatan isterinya, Dr Maryam sedang makan bersama dengan Masyitah.
“Amat amat amat bahagia.” Senyuman Hariz melebar.
Dr Ali Zahidi mengangguk sambil mata garfu dibenamkan pada daging sebelum sudu di tangan kiri membuatkan daging itu menjadi lebih kecil.
“Sebenarnya, ana tak sangka enta pilih dia.” Dr Ali Zahidi bersuara selepas menelan makanannya. Matanya memandang tepat Hariz.
Hariz yang baru sahaja hendak menyuap makanannya tidak jadi berbuat demikian. Senyumannya yang tadi melebar, menjadi kendur.
“Kenapa Abang Ali cakap begitu?”
“Yalah. Dalam organisasi kita ini, ramai lagi akhawat yang berkaliber. Yang boleh bersama-sama dengan enta dalam melakukan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah ini. Yang boleh ke hadapan dengan enta.”
Hariz diam.
“Memilih yang telah siap diproses, lebih mudah. Maka kita boleh buat banyak kerja lagi. Boleh bergerak lebih jauh lagi.”
“Teorinya, itu memang benar.”
“Jadi? Kenapa dulu enta pilih dia?”
“Sebab dari segi praktikalnya, teori itu tidak berjalan buat saya.”
“Em?” Dr Ali Zahidi tidak dapat menangkap maksud Hariz.
“Abang Ali, Rasulullah SAW pesan untuk kita mencari wanita yang baik agamanya.”
“Ya.”
“Masyitah dari segi asas agama, dia jelas.”
“Ok.”
“Jadi saya tidak perlukan sebab tambahan. Hal ini kerana, Allah bagi saya jatuh cinta kepada dia. Saya tidak perlukan apa-apa sebab lain selain perasaan ini. Saya tidak berkahwin dengan dia kerana apa-apa. Saya berkahwin dengan dia kerana dia. Kerana dia itu Tiara Masyitah. Bukan kerana dia itu Masyitah seperti Masyitah di zaman Musa.”
“Yalah. Tetapi bukankah lebih bagus enta pilih yang seperti Masyitah di zaman Musa? Yang berani ke hadapan menegakkan kebenaran. Ini hendak berkongsi pun tidak mahu. Apa manfaatnya kepada masyarakat? Berkahwin dengan orang macam dia, enta nak selalu tinggalkan rumah pun tidak boleh.”
Hariz menghela nafas.
“Abang Ali. Apa pandangan Abang Ali terhadap saya. Apakah saya ini bermanfaat kepada masyarakat?”
Dr Ali Irfan mengangguk. “Sebab itu ana cakap perkara ini. Orang macam enta, rugi jika bersama dengan orang seperti Masyitah. Enta masih muda, sebab itu ana berbicara akan hal ini. Ana berpesan kepada enta sebagaimana pesan Ibrahim kepada Ismail. Tukarlah.”
Hariz tersengih.
“Tahukah Abang Ali bahawa, saya menjadi bermanfaat sebagaimana yang Abang Ali nyatakan itu hari ini, dengan kehadiran siapa?”
Dr Ali Zahidi diam.
“Dia.” Hariz menunjuk kepada Masyitah yang khusyuk bersama Dr Maryam.
“Kita kenal semenjak sekolah menengah Abang Ali. Abang Ali tahu saya ini macam mana dahulu. Walaupun saya aktif dalam dakwah dan tarbiyah di sekolah, saya panas baran, tidak sabar, keras kepala dan sebagainya. Saya juga lemas dalam kekayaan keluarga saya.”
Dr Ali Zahidi mengangguk. Dia ingat semua itu. Dan Hariz Arifi di hadapannya kini adalah seorang manusia yang jauh berbeza.
“Bila Allah lekatkan cinta di dalam hati saya kepada Masyitah, saya jumpa satu perkara.”
“Apa dia?”
“Kesederhanaan. Dia memang bukan Masyitah di zaman Musa, Abang Ali. Tetapi dia datang dari kesederhanaan. Keluarganya sederhana. Dia dibesarkan dalam kesederhanaan. Kesederhanaan itulah yang membuatkan saya yakin dengan cinta yang Allah berikan kepada saya. Kesederhaan itulah yang membuatkan saya kembali melihat diri saya, kehidupan saya, pergerakan saya, kerja-kerja dakwah dan tarbiyah saya.”
Dr Ali Zahidi tidak berkata apa-apa.
“Orang semua menyatakan bahawa perubahan saya adalah kerana saya berusaha sendiri. Dari satu sisi, mungkin benar. Tetapi sebenarnya, saya bergerak untuk berubah itu adalah apabila saya bertemu dengan kesederhanaan yang ada pada Masyitah dan keluarganya. Akhirnya jadilah saya sebagai saya yang hari ini. Jika Abang Ali menyatakan bahawa saya hari ini adalah seorang yang bermanfaat kepada ummah, maka tidakkah yang membentuk saya juga telah memberikan manfaat? “
“Ana hanya hendak enta pergi lebih jauh. Pada ana, enta boleh pergi lebih jauh lagi. Tengok ana hari ini. Ke hulu ke hilir memberikan penyampaian. Apabila ada isteri seperti Maryam yang mampu berdiri bersama-sama aku, kerja menjadi lebih mudah. Kini satu Malaysia sudah mengenali ana. Brunei, Indonesia dan Singapura juga sudah mula hendak memanggil ana.”
Hariz menggeleng. Senyumannya mekar hingga ke telinga.
“Jika itu hendak diukur sebagai kejayaan, dan sampai ke tahap itu yang Kak Maryam boleh bantu Abang Ali, pada saya, saya lebih dari itu.”
Mata Dr Ali Zahidi membesar.
“Kini, buku-buku dan novel-novel saya sudah mula hendak diterjemahkan ke pelbagai bahasa di seluruh dunia. Produser-produser filem turut menghubungi saya untuk memfilemkan beberapa novel saya. Syarikat Motivasi saya juga sudah mula berkembang keluar dari Asia Tenggara. Terdapat juga sambutan hangat dari Eropah. Kini Masters saya sudah hampir tamat, maka saya kira lepas ini bolehlah saya fokuskan sebentar kepada perjalanan kerja-kerja ini agar lebih kukuh sebelum saya menyambung ke PhD.”
Dr Ali Zahidi kelu.
“Abang Ali, Masyitah sendiri tidak perasan bagaimana hakikatnya dia telah membantu saya bergerak sejauh ini. Kehadiran Masyitah adalah anugerah Allah yang terbesar buat saya. Dia menghilangkan penat saya, mengubati gundah saya, menambah semangat saya, dan buat saya sentiasa kembali mengingati amanah yang Allah berikan kepada saya. Sebab saya cintakan Masyitah. Saya mahu masuk syurga dengan dia. Maka saya bersungguh-sungguh di atas dunia ini kerana itu. Biar saya boleh bawa dia masuk syurga.”
Dr Ali Zahidi akhirnya menggeleng.
“Ana tiada bicara untuk enta lagi. Maafkan ana kalau sudah mengganggu jiwa enta. Ana tersilap perhitungan.”
“Abang Ali, sebagaimana Kak Maryam itu bukannya Maryam ibu kepada Isa, begitulah juga dengan Masyitah saya. Sememangnya dia bukan Masyitah di Zaman Musa. Tetapi mereka masing-masing ada kelebihan. Kak Maryam dengan kelebihann
ya, mampu menonjol dan aktif dalam dakwah dan tarbiyah bersama Abang Ali. Masyitah pula, kelebihannya adalah memberikan kehidupan kepada saya.”
Dr Ali Zahidi mengangguk sambil tersengih.
“Sepatutnya, baitul muslim tadi enta seorang sudah lebih dari memadai. Ana malu dengan enta.”
“Tidak. Kita tetap kena bersama-sama. Siapalah saya jika dahulu Abang Ali tidak mendidik saya.” Hariz merendah diri. Kini matanya perlahan-lahan digalihkan kepada Masyitah. Nampaknya isterinya itu sudah selesai makan.
“Dia memang bukan Masyitah di zaman Musa. Saya hidup
di dalam realiti, sebab itu saya mampu menerimanya.”
Dr Ali Zahidi hanya mampu mengangguk lagi.
Benar. Realiti.
Rata-rata hari ini orang terbiasa dengan kesempurnaan fantasi. Mencari hanya yang sempurna. Kemudian kecewa apabila melihat kecacatan selepas perkahwinan.
Tetapi nampaknya Hariz Arifi berbeza.
Dia membesar-besarkan segala kelebihan yang ada pada isterinya, walaupun hakikatnya kelebihan itu sebesar kuman cuma. Yang mungkin di mata orang lain, tiada apa maknanya.
Menyebabkan orang sepertinya jadi malu sendiri, berbicara dengan Hariz Arifi.
*****
Dia terbangun di tengah malam. Gegendang telinganya bergetar mengejutkan tubuh. Biasanya dia tidur nyenyak sahaja kerana setiap malam dia akan keletihan studi. Tetapi semenjak graduasi, dia sudah tidak ada apa yang hendak dikejarkan. Dia sudah tidak perlu studi teruk-teruk seperti dahulu. Mungkin sebab itu lenanya juga senang terjaga. Dia sudah tidur awal.
Matanya memandang ke sudut bilik. Satu lembaga sedang duduk bersimpuh ditemani cahaya oren dari lampu tidur.
Hariz Arifi.
“Rajin betul suami aku ni.” Gumamnya. Malu sendiri. Hariz Arifi hanya mengejutkannya pada malam Jumaat. Tetapi dia tahu yang suaminya itu hampir setiap malam akan bangun melaksanakan qiamullail jika tiada keuzuran.
“Ya Allah, rahmatilah Masyitah. Ya Allah, rahmatilah Masyitah. Ya Allah, rahmatilah Masyitah.”
Eh? Masyitah? Nama aku. Perlahan-lahan dia bangun dari pembaringan. Ingin mendengar dengan lebih jelas. Dia dapat melihat Hariz Arifi bersama kedua belah tangan yang terangkat.
“Ya Allah, rahmatilah Masyitah. Sesungguhnya aku amat mencintainya. Kau telah hadirkan dia sebagai penghidup jiwaku. Acapkali aku melihatnya, dia menumbuhkan kebahagiaan dalam hatiku. Maka ya Allah, rahmatilah dia.”
Tiba-tiba hati rasa sebak. Ayat-ayat yang terlantun menghentak gegendang telinganya agar bergetar itu, seakan tembus mendodoi jiwanya juga.
“Ya Allah, jadikanlah Masyitah itu wanita yang Kau redhai dan jagalah dia. Permudahkan segala urusannya. Golongkanlah dia dalam golongan orang yang berjaya, cemerlang dalam segala halnya, khususnya dalam ketaatan kepadaMu dan dalam perjalanannya menuntut ilmu.”
Aku pernah mendoakan dia tak? Tiba-tiba Masyitah mempersoalkan dirinya. Jangan kata doakan dia, doa untuk diri sendiri sungguh-sungguh pun sekali sekala sahaja. Ish…
Tiba-tiba mata rasa berkaca.
“Ya Allah, masukkanlah Masyitah itu dari kalangan ahli syurgaMu, redhailah dia Ya Allah, terimalah dia Ya Allah. Jadikanlah dia seorang yang beriman dan solehah. Lindungilah dia dari kejahatan dan kemungkaran.”
Air mata mengalir.
“Sesungguhnya aku amat mencintainya ya Allah. Maka cintailah dia. Sebagaimana Kau hidupkan jiwaku apabila melihatnya, maka hidupkanlah jiwanya untuk mencintaiMu dan menjadi hambaMu yang baik.”
Perlahan-lahan Masyitah baring dan berpaling mengiring dari arah Hariz Arifi.
“Amiin.”
Tangannya menggenggam selimut. Mulut mengungkap “Amin,” bersama air mata yang mengalir.
Ya Allah, rahmatilah suami aku.
Dan jadikanlah aku ini orang yang mampu menyenangkannya.
*****
“Kenapa ya tiba-tiba hendak bawa saya bercuti?” Soalan itu hadir diiringi dengan bunyi ombak memukul pantai.
“Tak boleh?” Burung camar menghiasi suasana.
“Boleh. Saya suka.” Mentari senja menambah keindahan.
“Ha, ingat sayang saya ini tak suka. Boleh saya tempah tiket balik hari ini juga.” Keadaan pantai yang sudah mula sedikit dengan orang ramai membuatkan mereka berdua dapat duduk-duduk dengan tenang.
“Tak naklah. Lawa sini. Pantai dia sangatlah cantik.”
“Awak cantik lagi.”
Diam.
Hariz memandang sebelahnya. Masyitah tunduk menekur pasir pantai.
“Kenapa diam? Ingat nak bangga-banga. Orang puji.”
“Speechless. Awak selalu puji saya itu ini. Lebih-lebihkan saya itu ini. Saya tak pandai nak main ‘jiwang-jiwang’ macam awak. Saya takut nanti lama-lama awak bosan dengan saya.”
“Haha. Bosan dengan awak? Habis, saya nak hidup macam mana kalau saya bosan dengan awak? Saya pun tak dapat bayang. Mustahil terjadi insyaAllah.” Sungguh-sungguh Hariz berbicara.
“Manalah tahukan. Awak takkan tak penat dengan saya?”
“Kan dah cakap tempoh hari? Lagipun, dalam hampir dua tahun ini, awak tengok saya layan awak, saya hidup dengan awak, ada pernah buat gaya penat selain bila saya balik kerja?”
Tak ada. Tetapi jawapan itu tinggal di kerongkong Masyitah sahaja.
“Awak tanya kenapa bawa awak bercuti kan?”
“Ya.”
“Lawa tak matahari itu?” Hariz memanjangkan tangan, menunjuk ke arah mentari dengan jari telunjuk. Matahari itu hampir terbenam ditelan horizon kerana senja.
“Lawa.”
“Awak adalah matahari saya.”
“Matahari?”
“Matahari adalah sumber tenaga. Matahari juga adalah paksi menjaga keseimbangan sistem solar kita. Matahari petunjuk arah. Awak adalah semua itu. Tanpa awak, saya samalah macam bumi tanpa matahari, gelap dan tidak hidup. Tanpa awak, saya samalah seperti sistem solar kita ini tanpa matahari, tidak seimbang dan bergerak ke arah kehancuran.”
Masyitah tidak mampu berbicara apa-apa. Hawa yang ada kini seakan-akan membuatkan dadanya sebak dan dia rasa seperti ingin menangis.
“Dan untuk jawapan kepada soalan kenapa saya bawa awak bercuti adalah…”
Apa lagi? Hariz Arifi, awak memang pandai buat jiwa saya tunggang terbalik.
“Selamat Hari Lahir.”
Masyitah terpana sebentar. Hari Lahir. Hari ini…
MasyaAllah.
“Haha. Dah agak dah dia lupa. Sibuk sangat studi. Bila dah graduasi, tarikh lahir sendiri pun lupa.” Hariz ketawa sendiri. “Percutian ini adalah hadiah hari lahir dan hadiah graduasi sekali. Boleh ya?”
Tiba-tiba air mata Masyitah menitis.
“Eh, awak, kenapa menangis?”
Segera Masyitah melentokkan kepalanya pada bahu Hariz.
“Kenapa ni?” Hariz menggosok perlahan belakang tubuh Masyitah.
“Terima kasih ya awak?”
Hariz menggelengkan kepala. “Saya yang patut ucap terima kasih sebab awak sudi kahwin dengan saya, berada di sisi saya.”
“Boleh tak bagi saya menang sekali dalam menghargai?” Masyitah yang sudah melekat pada bahu Hariz bersuara.
Hariz ketawa. Air mata meleleh pun boleh buat orang ketawa. Isteri aku ni kiut sungguh.
“Saya janji akan berusaha dengan lebih baik lagi. Biar benar-benar boleh menjadi matahari awak, ibarat Masyitah di zaman Musa, yang teguh terjun ke dalam didihan syurga.”
Hariz tidak menjawab. Hanya leretan senyuman. Matanya kekal memandang matahari yang semakin ditelan horizon. Masyitah damai di bahunya.
Di dalam hati tidak henti mengucap hamdalah.
Kebahagiaan ini, memang tiada bandingannya.
Isterinya memang bukan Masyitah di zaman Musa.
Tetapi dia adalah Tiara Masyitah, bidadari di dalam jiwa.
Yang Allah salurkan daripada Masyitah ini, kekuatan dan kehidupan kepadanya.
KATE HATI EIYKINSSHI: semoga aku kekal dlm kesederhanaan n bertemu dgn seseorang yg melengkapkan segala kekurangan dlm dri ku:) insha ALLAH..
credit to : hilal asyraf_langit ilahi