Anak-anak kecil berduyun-duyun melewati pintu pagar sekolah. Entah apa yang dikejarnya. Sinaran mentari terik tidak diendahkan mereka. Jeritan "Pak Guard" meminta mereka menunjukkan sedikit tingkah manusia, tenggelam dalam keasyikan dunia tanpa dosa anak-anak kecil itu. Penjual ABC tidak lepas tangan melayan anak-anak yang rakus itu. Banyak karenah dilihat. Penuh ragam tengah hari itu.
Pintu keretaku dibuka.
“Eh Amin, anak umi. Mana Liya? Selalu dia tumpang kita pulang?”
“ Liya tak boleh balik la. Dia kena kelas tahanan. Itulah. Cikgu suruh eja ayam pun tak reti. Makan ayam tahu pula!” getus anak tunggalku ini lalu melabuhkan punggung di kerusi hadapan.
Kereta yang dipanduku meluncur laju.
“ UPSR dah nak dekat tapi banyak yang Liya tak tahu lagi. Banyak sangat! Amin risau ni umi! Liya kata dia nak jadi doktor macam umi tapi eja ayam pun tak lepas. A.Y.A.M, ayam!” anakku berceloteh.
“ Prihatin betul anak umi seorang ni. Tapi Min, kalau Allah bagi kekurangan pada seseorang, Allah bagi kelebihan juga sebagai keseimbangan. Allah sayang semua makhluk-Nya. Umi tengok Liya tu cantik juga ya, rajin bantu ibunya di rumah. Berkenan umi nak jadikan Liya menantu!” kataku sambil melirik ke arah anakku.
Amin mencebik.
“ Amin kecil lagi la. Amin nak dapat kerja baik-baik dulu, beri umi kesenangan, kumpul harta, lepas tu baru Amin fikir pasal jodoh. Emm, umi cuti hari ini kan? Umi masak apa hari ini? ” anakku mengubah topik.
“Ya, umi cuti hari ini. Jadi, ada lah masa untuk umi masak sedap-sedap. Umi ada buat sambal hati hari ini. Kegemaran Amin kan. Tapi tak boleh makan selalu tau. Tak berapa baik untuk kesihatan,” terangku.
“ Tapi kalau tak baik untuk kesihatan, kenapa umi masak juga?”
“ Sebab umi nak ...
Ingatanku lantas terbang...melayang...
***
Pagi itu keputusan STPM diumumkan. Aku mendapat keputusan yang agak cemerlang. Berkat doa ibu bapa, guru-guru dan sahabat. Aku tersenyum. Betapa Allah itu maha adil. Dia menggantikan sesuatu yang baik dengan yang lebih baik.
“ Nur, pergi kedai Pak Mail kejap. Beli beras pulut dan ikan bilis sedikit. Mak nak jamu orang surau esok. Ayah nak buat doa selamat sedikit.”
Laungan ibu dari dapur memecah khayalanku.
Segera ku mendapatkan basikal yang banyak berjasa membantu ayah mendapatkan rezeki untuk keluarga di bawah rumah.
“ Tahniah kak Nur! Mat dengar kak Nur jadi pelajar terbaik kampung kita. Tak sia-sia Mat doa untuk kak Nur tiap malam. ”
Aku yang sedang membongkok di bawah rumah terhantuk pada alang rumah. Terkejut.
“ Mat rupanya. Lain kali bagi la salam dulu. Terkejut akak. Alhamdulillah Mat. Rezeki akak.”
Mat memang begitu. Tibanya tak terkesan, perginya tak terlihat. Namun hadirnya sangat terasa.
“ Maaf kak. Emm... Mat dengar kak nak pergi kedai Pak Mail kan? Nak ikut! Mat nak beli choki-choki. Tapi..Mat tak bawa duit la ” sengih Mat menampakkan gigi kuningnya.
“ Nak suruh akak belanja la tu. Nasib baik mood akak happy hari ni. Dah, cepat duduk belakang. Isk, seluar tu naik atas la sikit Mat. Nanti londeh, satu kampung gelakkan Mat tau.”
Kataku disambut leretan senyumannya yang ikhlas. Angin menghembus damai ke pipiku. Kayuhanku agak perlahan lantaran membawa ‘muatan’ yang tidak disangka. Perjalananku yang agak jauh tidak jemu tatkala melihat padi yang sedang menguning sambil mendengar celoteh si Mat. Gembira.
“ Kak Nur ni baiklah. Akak je yang nak kawan ngan Mat. Orang kampung kata Mat tiga suku, tak betul, ting-tong. Kenapa akak kawan juga dengan Mat? Ke akak pun macam Mat? Sebab tu kita ngam kan, akak?”
Pertanyaannya membuatku terpinga.
“Emmm..betullah tu...akak pun lebih kurang macam Mat la. Cuma akak ada kelebihan sedikit daripada Mat. Akak pandai bawa basikal,” senyumku.
Hatinya kulihat berbunga. Aku meneruskan perjalanan. Dengan perasaan yang masih sama. Gembira. Aku memberhentikan kayuhan. Semua mata memandangku dengan emosi yang sama. Sinis. Aura kejelekan kuat kurasakan dari sekeliling. Kecuali dari pokok-pokok, tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan yang memberi rasa hormat penciptaan terhadap kami berdua. Terbit juga dari haiwan sosial-dalam kalangan mereka rasa itu. Segelintir.
Aku tahu mereka bercakap-cakap tentangku. Memuji kejayaanku pagi tadi dalam sindiran.
***
“ Nur, tempoh untuk pembayaran yuran tinggal tiga hari lagi. Elok disegerakan untuk memudahkan pendaftaran STPM kamu itu ya. ”
Peringatan guruku yang boleh kutelah sebelum kelas bermula. Pasti disahut oleh suara belakang yang merentap iman. Sedang aku hanya mengangguk sebagai tanda memahami peringatan guru.
“ Ala cikgu, Nur tu bukan ada duit. Ayah dia menoreh pun getah orang. Dibahagi tiga pula.”
Kedengaran seperti memahami tetapi manusia hanya melihat apa yang di hadapannya tanpa mahu membelek.
“Tapi cikgu, kalau malam ni dia pergi rumah Mat tiga suku , panjat katil ayah si Mat tu, esok juga dia bayar yuran tu cikgu, bukan tak biasa si Nur buat kerja macam tu” lantangnya memburaikan gelak tawa seisi kelas.
Aku diam. Geram. Maruahku dipermainkan anak wakil rakyat yang dikatakan berpengaruh. Di dunia. Mujur aku ditenangkan oleh sahabat-sahabatku. Minoriti . Guru biologi itu menenangkan kelas. Jelas bersimpati denganku, die mendahulukan wangnya. Semoga dilangsai dalam minggu hadapan dengan kadar separuh. Separuh lagi sebagai jariahnya di alam sana. Syukur.
Duit yang dikumpul ayah sejak enam bulan lalu kian cukup menjelang minggu hadapan untuk melangsaikan sebahagian yuran. Syukur. Bererti enam bulan yang jerih bakal berhenti. Tidak bermakna hari mendatang menjadi bangsawan. Cuma lebih baik. Sekurangnya tidaklah setahun. Tidaklah menjadi makruh.
“ Pak Mail, kira semua ni. ”
“ RM 18.60 ”
Not-not berwarna dihulurkan sambil diperhati. Aku terkesan suara yang sudah lali didengar. Suara yang berniat merendahkan. Suara anak wakil rakyat itu. Khairul.
“ Banyak duit cik akak? Katil siapa pula kau panjat malam tadi ha? Sejak bapak si Mat meninggal, pandai kau cari kabel lain ye. Kasihan kau. Otak pandai, tapi tergadai! Aku pun nak jugak try kau kalau kau free malam ni.” Kahkahkah..
Aku panas.
“ Eh abang Khairul, kenapa cakap macam tu. Tak sopan betul! Tak baik cakap macam tu kat kak Nur. Kak Nur baik la. Bukan yang macam abang fikirkan. Pak Din penat kerja tau, kumpul duit. Didik kak Nur. Mat dengan kak Nur lebih kurang je. Mat tiga suku, kak Nur empat suku kot sebab kak Nur pandai bawa basikal, Mat tak pandai.” Mat bersuara.
Aku tak tahu sama ada Mat menjernih atau memburukkan lagi keadaan. Jelas , aku mendengar deraian gelak ketawa yang bertambah kuat di saatku melangkah keluar. Segera aku memberi choki-choki yang diidam oleh Mat sedari tadi, juga sebagai simbolik terima kasih. Lalu beransur pulang. Jalan yang sama. Emosi yang berbeza.
Petang itu, aku menyatakan hasrat untuk mengesahkan permohonan kemasukan ke IPT kepada kedua ibu bapaku. Mata ayah nyata berkaca. Lagi. Ibu juga. Aku tahu keadaan keluargaku tidak mengizinkanku mendahulukan kehendak hati.
“ Program perubatan tu mahal. Anak Mak Limah sebelah rumah ni tiap-tiap bulan minta duit. Beli itu, beli ini. Mujur harta peninggalan arwah pak Leman cukup untuk tanggung anak tunggalnya itu.”
“Tapi Timah, ini sahaja jalan keluar daripada kesusahan kita. Abang boleh minta tolong daripada adik-beradik abang yang lain. Terpaksalah kita berhutang buat sementara waktu. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian.”
“Timah takut si Nur tu lemas dengan kehidupan kota. Rakit yang kita ikatkan untuk dia mungkin terlerai atau diputuskan oleh tangan lain. Mana kita nak cari buluhnya lagi?” Ayah terdiam.
Aku mencuri dengar perbualan mereka di dapur. Aku faham. Ayah tahu bahawa ini merupakan percaturan yang sangat penting demi kesejahteraan hidup kami sekeluarga. Aku berada di persimpangan. Selain program perubatan di UKM, aku juga mendapat panggilan temu duga maktab perguruan. Dua cabang kerjaya yang sangat berbeza. Baik dari segi pelajaran, tempat bekerja, lebih-lebih lagi kos pembiayaan.
Hari ini merupakan penggal baru dalam hidupku. Kulihat bangunan-bangunan dan kemajuan sedang rancak berlari. Kepesatan dan kemodenan bandar membuatku berasa gusar akan iman ini akan bergoyah. Bangga. Aku melihat papan tanda Institut Perguruan Kuala Lumpur tersergam indah. Setiap hari aku akan menatapnya sehingga akhir pengajianku dan aku akan keluar sebagai salah seorang nahkoda yang akan mengemudi bangsaku ke arah kehidupan yang lebih sejahtera.
Aku rasa tindakanku yang menurut kata ibu bapaku untuk mengikuti program ini adalah tepat. Cuma mereka tidak bersama denganku pada hari pertama aku memulakan langkah baru di dunia yang baru. Jimat barangkali. Ya. Fakulti perubatanku bersebelahan dengan institut perguruan yang pernah menjadi dilema untuk aku memasukinya.
Aku berharap ibu bapaku dipanjangkan umur untuk aku membalas jasa mereka. Aku tahu ayah banyak berkorban dan sanggup menebalkan muka ke sana-sini supaya aku dapat berdiri di sini. Aku akan sentiasa berhati-hati mendayung rakitku ini yang bila-bila masa sahaja boleh terumbang-ambing dengan perkara-perkara yang remeh-temeh.
Hari pertamaku. Khairul. Dia satu kelas denganku. Aku tahu sikapnya yang suka memperlekehkan orang lain tidak mungkin berubah tambahan dengan ego orang kayanya yang tinggi itu. Hari itu suai kenal. Aku tidak perlu berkata apa-apa. Terima kasih Khairul kerana telah memperkenalkan diriku dengan begitu terperinci.
Hikmahnya, aku tidak perlu gugup untuk berdiri di atas pentas memperkenalkan diri kerana aku sudah sedia gugup di bawah pentas tatkala kau di atas pentas, memperkenalkan aku. Sayangnya kau tidak mengambil gambar rumahku untuk dipertontonkan supaya gelak tawa dan sokongan untuk kau bertambah kuat lagi! Hati kau Khairul, busuk!
Kehidupan sebagai pelajar perubatan memang mencabar dengan pelbagai onak. Syukur aku diiringi doa dan restu daripada keluarga. Prestasiku tidak secemerlang Khairul yang mampu membeli buku rujukan khas dan peralatan belajar yang lengkap. Tambahan dengan perangainya yang ‘konsisten’ itu, aku tidak pasti sama ada kejayaannya itu sebagai istidraj ataupun maunah mahupun karamah. Tapi aku diajar untuk bersangka baik.
Hari raya bakal menjelma. Dengan sedikit duit biasiswa yang aku terima aku membelikan ahli keluargaku pakaian raya baru yang aku kira sudah lima tahun tidak bertukar. Girangnya aku kerana dapat pulang setelah setahun tidak pulang kerana terpaksa berjimat. Cuti semester dijadikan waktu belajar dan alhamdulillah keputusan peperiksaan akhir tahun melayakkan aku menerima anugerah dekan. Jelas terbayang wajah ibu bapaku yang tidak hadir sebagaimana ibu bapa yang lain. Aku faham. Mengerti.
“Assalamualaikum. Kak Nur dah balik? Akak beli apa untuk Mat? Akak kan duduk dekat Kuala Lumpur sekarang ni. Mesti macam-macam ada kan. Seronoknya kak!”
“Waalaikumsalam. Ha pandai pun beri salam . Tidak la akak terkejut lagi. Mat, akak bukan duduk la. Akak belajar di Kuala Lumpur. Entah lah. Akak tak suka berjalan. Ramai orang jahat! Mat tak suka orang jahat kan? Ala, akak tak beli apa-apa la..takpe-takpe, nanti akak bawa Mat pergi kedai Pak Mail, kita beli choki-choki ya.? Tapi sekarang bulan puasa kan? Tak boleh makan siang. Mat puasa tak ni?”
“hehehe...Penat. "
Petang itu juadah disediakan bermacam-macam jenis kerana ada moreh di surau dan mak dipertanggungjawabkan untuk menguruskannya. Aku membantu. Syukur kehidupan kami bertambah baik. Ayah bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah rendah. Biasiswa yang aku terima sedikit-sebanyak mengurangkan beban kewangan mereka. Aku mencapai tudung dan mengusung basikal ke laman.
“ Mak, Nur nak pergi hantar bekal buat ayah berbuka ni, lepas tu Nur nak pergi ke kedai pak Mail kejap, ” laungku kepada ibu.
“ Isk Mat ni cepatlah sikit, dah nak berbuka ni, mana lagi nak pergi hantar bekal, beli choki-choki lagi. Ha..nasib baik dah pandai pakai seluar elok-elok. Macam ni baru segak! ”
Teguranku disambut dengan senyuman yang menyeringainya itu. Giginya masih kuning. Perjalanan yang sama. Emosi yang sama. Gembira. Padi mula menguning. Angin sepoi-sepoi bahasa membelaiku. Mat terus dengan celotehnya yang tiada nokhtah itu. Kayuhanku terhenti. Kaget. Kulihat ada kemalangan berlaku. Sebuah kereta mewah terjunam ke dalam parit dan seekor lembu mati. Aku cam kereta itu. Khairul!
Ya Allah, aku lihat dia berlumuran darah. Kebetulan terdapat pondok telefon yang berhampiran. Aku berlari mendapatkannya untuk menelefon ambulans. Beduk berbunyi. Azan berkumandang. Aku masih di samping Khairul. Mat juga. Kulihat kelopak mata Khairul seakan terbuka. Menatapku. Aku mengajarnya mengucap dan ingatkan Allah. Azan terus berkumandang.
Mana ambulans? Ah, nyawa Khairul di hujung tanduk! Ah, Mat tidak berhenti bercakap. Dia panik. Aku juga! Ah, ibuku tentu runsing di rumah! Ah, aku kusut!
Ne..No..Ne..No...
Kenapa aku di sini? Di samping Khairul. Dia. Penjatuh air mukaku. Pihak hospital sudah menghubungi ahli keluarga Khairul. Hampa. Mereka di luar negeri. Urusan politik katanya. Penting. Projek mega, juta-juta. Hmmm kuasa wang. Khairul diberi bantuan pernafasan. Kemalangan yang berlaku menyebabkan organ dalaman Khairul rosak. Hati Khairul rosak.
Dia memerlukan penderma organ dengan segera, yang serasi dengan jenis darah dan metabolismanya. Hati dia rosak teruk walaupun secara batinnya memang dia memerlukan hati yang baru. Lama dahulu. Aku mendail nombor telefon rumah Mak Limah untuk bercakap dengan ibuku. Aku bercerita. Suatu kisah benar. Sesuatu yang kuharapkan hanyalah rekaanku semata.
Ibu menyuruhku menemani Khairul memandangkan dia tidak berwaris ketika itu. Dasar kemanusiaan. Aku berharap semuanya berjalan lancar. Aku memanjatkan doa supaya semuanya selamat. Khabar diterima. Alhamdulillah. Doaku di bulan Ramadan ini dimakbulkan. Khairul selamat menjalani pembedahan dan telah mendapat hati yang baru. Malangnya, penderma hati tersebut mendapat komplikasi selepas pembedahan dan meninggal.
Bagiku, dia pergi menghadap Ilahi dalam keadaan yang sungguh mulia. Aku pergi ke tempat rehat untuk mendapatkan Mat. Dia sangat risau. Walaupun Khairul itu selalu mencacinya. Teruk. Tentu dia gembira dengan perkhabaran ini. Mat. Mat? Mat? Aku lihat sekujur tubuh baring di atas katil. Seakan Mat. Aku lega. Ingatkan hilang. Mungkin Mat penat sangat.
Pagi itu aku bersahur di kafe. Aku lihat Khairul belum sedarkan diri. Niatku ingin melihat jenazah si penderma hatinya itu dan menyedekahkan Al-Fatihah kepada roh si arwah. Jururawat yang bertugas menyelak kain putih yang menyelubung jenazah. Aku tergamam. Terkedu. Mengalir air mata ini. Mat! Mat kulihat kaku. Namun masih tersenyum. Namun gigi kuningnya tidak lagi kelihatan. Al-Fatihah buat Mat.
Di penghujung Syawal, tahun yang berikutnya. teratakku dikunjungi golongan elit. Berkereta mewah, berpakaian cantik serta bergaya. Sedang kami sederhana. Mungkin hina bagi sesetengah mereka. Ikatan pertunangan aku dan Khairul. Benar. Dia benar-benar telah mendapat hati yang baru. Mulia hatinya. Seperti pendermanya. Dan aku dapat melihat itu.
***
“Sebab umi nak Amin mengenali hati... Hati ada kebaikan juga keburukan. Tambahan, hukum makan hati adalah makruh tau. ”
“Baik umi.”
Keretaku terus meluncur laju. Masihku terbayangkan...
***
“Kenapa Mat suka makan choki-choki ya?”
“Sebab manis! Macam kak Nur!”
“Ish ada-ada aja Mat ni. Nak suruh akak belanja lagi la tu kan? Nanti lepas abang Khairul selamat, semua perkara dah selesai, akak belanja ya.”
“Akak tau tak? Akak la orang kedua yang baik dengan Mat selepas ayah Mat. Tapi sekarang ayah Mat dah tak ada, akaklah yang pertama. Dulu masa ayah masih hidup, akak selalu datang rumah kami, kemas rumah kami, masak untuk kami. Hati akak mesti mulia kan?”
“Tak ada apa-apa la. Akak tolong ikhlas. Lagipun akak tengok dulu hidup Mat dan ayah Mat tak terurus. Akak bantu apa-apa yang termampu. Kalau nak buat apa-apa pun, hati kita mesti ikhlas.”
“Mat nak jadi baik macam akak. Mat nak berhati mulia macam akak.” “Mat dah cukup baik. Selalu tolong tengokkan keluarga akak kan. Tolong ayah akak kat kebun, ikut gotong-royong kampung, bersihkan surau. Kan mulia hati Mat tu..”
“ Betul ke akak? Tapi Mat rasa Mat nak buat sesuatu baru Mat rasa Mat satu level dengan akak”
“Hmm apa dia?”
“Belajar bawa basikal. Nanti boleh Mat bawa akak dan orang kampung naik basikal Mat pergi pusing keliling kampung, tengok sawah padi, beli choki-choki.”
“Tak habis-habis dengan choki-choki Mat ni tau. Ok la. Akak nak pergi tanya doktor tentang keadaan abang Khairul tu.”
“Ok kak! Kejap lagi Mat nak pergi belajar bawa basikal tu. Doakan Mat ya.”
“Mat ni apa-apa sajalah”
-TAMAT-
++kate hati eiykinsshi:ketahuilah dlm jasad itu ada segumpal daging, jika baik daging itu maka baik lah keseluruhan jasadnya..namun jika rosak daging itu maka rosak juga keseluruhan jasadnya..Ketahuilah bahawa ia adalah Hati.. ++
:)
++kate hati eiykinsshi:ketahuilah dlm jasad itu ada segumpal daging, jika baik daging itu maka baik lah keseluruhan jasadnya..namun jika rosak daging itu maka rosak juga keseluruhan jasadnya..Ketahuilah bahawa ia adalah Hati.. ++
:)
No comments:
Post a Comment