Tanah sekangkang kera tu juga yang Mak Long rebutkan; kerana tanah itu juga mak aku bermasam muka dengan Pak Long; kerana tanah itu juga aku terpisah dengan sahabat karib aku, anak Pak Long. Semuanya berpunca dari tanah dusun peninggalan arwah datuk dan nenek. Mak Long kata, Pak Long yang berhak ke atas tanah itu sebab Pak Long anak sulung. Mak aku pula kata, masa arwah datuk dan nenek aku masih ada mak dan ayahlah yang mengusahakan dusun itu. Pak Long tak pernah pedulikan dusun itu.
Lagi pun tanah Pak Long di kampung seberang hampir sepuluh ekar. Entah apa yang direbutnya pada tanah dusun itu, aku pun tak faham. Apabila aku tanya, mak kata ini hal orang tua dan aku tak boleh masuk campur.
Aku masih ingat lagi, di dusun itulah aku dan Amir memenuhkan agenda harian masa kecil dahulu. Lepas balik dari sekolah kami akan ke dusun, memanjat pokok rambutan datuk. Ada pokok rambutan merah. Dua tiga pokok pula rambutan kuning. Apabila tiba musim durian, kami berdua akan menemani datuk, tunggu buah durian luruh. Kami akan duduk dalam pondok yang memang dikhaskan untuk menunggu. Sambil menunggu kami minum kopi pekat dengan biskut kering. Nenek yang bekalkan. Nyamuk pula tak mahu lepaskan peluang. Habis badan aku dikerjakannya. Yang hairannya, hanya aku yang jadi habuan nyamuk-nyamuk dusun itu. Atuk kata darah aku manis. Darah aku manis? Apabila dah gatal-gatal, aku suruh Amir tolong garukan. Maklumlah aku ni anak manja!
Aku punyalah gembira apabila Pak Long dan Mak Long datang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Puasa bersama kami sekeluarga seperti selalu. Sebenarnya kehadiran Amirlah yang membuatkan aku gembira sakan kerana ada teman untuk bermain mercun dan bunga api serta teman untuk berjalan-jalan di pagi raya.
Kemeriahan malam raya dapat aku dan Amir rasai bersama. Namun ketiadaan datuk dan nenek pada tahun tersebut untuk meraikan hari raya itu sedikit-sebanyak mewujudkan perasaan sedih di satu sudut hati kecil kami.
Tidak aku sangka yang kemeriahan Hari Raya Puasa di rumah kampung kami akan bertukar menjadi medan peperangan apabila Pak Long dan Mak Long meluahkan hasrat hati mereka untuk memiliki tanah pusaka arwah datuk dan nenek itu. Mak sehingga akhir masih cuba untuk mempertahankan haknya terhadap tanah pusaka tersebut. Pergelutan lidah berlaku antara kedua-dua pihak. Akhirnya Pak Long dan Mak Long yang menang. Mak dan bapak aku sanggup berundur kerana tidak mahu pergelutan ini menjadi lebih parah serta menjadi buah mulut seluruh masyarakat kampung. Malangnya, yang menjadi mangsa dalam pergelutan tersebut ialah aku dan Amir. Ya.... persahabatan kami terpaksa diputuskan!
“Amir mesti datang cari Mira tau.” Pesanan terakhir aku pada sepupu ku. Aku hanya memandang sayu pada Amir. Ayah menarik aku masuk ke dalam kereta. Kampung Mentuan akan aku tinggalkan. Ayah telah mendapat tawaran pekerjaan di Kangar. Pada mulanya ayah enggan terima tawaran tersebut. Tetapi, kerana tanah dusun itu, kerana perang saudara yang tercetus, ayah terpaksa akur dengan permintaan emak.
Perkara yang aku tahu, emak merajuk membawa diri. Dia malas nak bertegang leher dengan Pak Long dan Mak Long. Sudah hampir 12 tahun aku tak menjejakkan kaki ke kampung Mentuan. Bukan aku tak mahu, tapi emak yang tak mengizinkan. Betapa aku rindu untuk bertemu Amir. Entah macam mana rupa dia sekarang. Wahai angin.... sampaikanlah salam ku kepadanya!
--- “Berangan aje kerjanya anak dara sorang ni...!”
Lamunan ku terhenti. Fizah kawan baik ku menegur.
“Hei, tolong sikit, aku bukan berangan tau, aku cuma teringat kisah lama.”
“Tak sama ke tu dengan lamunan?”
“Mana sama, walaupun perkataan yang digunakan sama, jika digunakan untuk situasi yang berlainan ia membawa maksud yang berbeza.” Aku cuba membela diri.
“Ya lah, ya lah... malas aku nak bertekak dengan bakal lawyer ni.” Fizah mengalah.
“Tau pun, yang kau menyibuk tu apasal. Aku nak berehat pun tak senang.”
“Tadi kat kafe aku nampak Amir Lutfi. Emm... aku rasa dia tu semakin hari semakin handsome pulak! Kalaulah aku dapat...”
“Kalau dapat kau nak buat apa? Kau jangan nak potong line... Amir tu aku punya tau!” Aku pura-pura marah.
“Perasannya cik akak sorang ni. Si dia tak ade apa-apa, awak aje yang lebih!” Fizah ketawa mengejek.
“Ejeklah... aku tak kisah. Kalau tak terbuntang mata kau tengok aku berkepit dengan Amir suatu hari nanti, jangan panggil aku Amirah tau.”
"Eleh tak hairan, best women win! Aku baik balik dulu...” Fizah tersengih dan terus keluar.
Mimpi di siang harilah aku. Si Amir tu anak orang kaya, rupanya pun handsome habis, pelajar terbaik engineering pulak tu. Pendek kata Amir ni memang popular di kampus. Ramai pelajar perempuan yang menaruh hati pada dia. Tapi satu yang aku puji tentang dirinya, aku tak pernah nampak Amir keluar dengan mana-mana perempuan. Bukan tu aje, bercakap pun, apa orang putih kata... once in a blue moon... sekali sekala jelah! Siapalah yang bertuah memiliki Amir Lutfi. Aku macam ada rasa, akulah orang tu. Ceh perasan! Aku tutup muka aku dengan bantal. Malu sendiri!
Minggu ulang kaji dah pun menjelma. Mahasiswa-mahasiswi yang dah memerap dalam bilik mula mengulangkaji. Bagi aku belajar di perpustakaan lebih menyelesakan. Eh, ye ke lebih selesa atau aku sengaja jadi spy tak de gaji, hanya memerhatikan Amir. Tak kisahlah apa jua niat aku, yang penting dua matlamat aku tercapai. Apa yang aku baca masuk otak dan kedua apa yang aku nak tengok aku dapat tengok, biarpun dari jauh. Aku dah cukup puas hati. Macam orang bercinta, tak dapat tengok orangnya, dapat tengok bumbung rumah pun dah cukup bahagia. Tapi aku ni masuk kategori orang bercinta ke...? Aku keliru!!!
Ini peperiksaan aku yang terakhir, memandangkan ini semester akhir aku berada di Universiti Malaya, universiti tertua di Malaysia. Umur aku pun dah masuk 24 tahun. Amir anak pak long juga sebaya aku. Entah mana dia berada. Betapa hati ini rindu mendengar suaranya, gurauannya dan gelak tawanya. Kenangan masa kecil dulu semuanya manis belaka. Tiada sebab untuk aku melupakannya walaupun secebis helaian memori indah bersama. Alangkah bagusnya kalau Amir Lutfi tu sepupu yang aku rindu selama ini. Ntah-ntah dialah yang aku cari selama ini. Tapi, setakat yang aku tahu nama penuh anak pak long Amir sahaja. Mana datangnya Lutfi ini? Adakah Amir tu sepandai aku sampai boleh jejakkan kaki ke menara gading tempatan? Ntah-ntah dia tu SPM pun tak lulus tak? Aku tertanya-tanya!
---
Hujan lebat pulak, macam mana aku nak pergi peperiksaan hari ini. Hari ini dah lah first paper. “Fizah, macam mana ni?”
“Macam mana apa? Kita redah ajelah hujan tu.” Selamba Fizah menjawab.
Redah? Basah kuyuplah aku bila sampai dewan peperiksaan nanti. Dahlah kena menapak. Jarak hostel dengan dewan bukannya dekat. Jam dah menandakan pukul 8.30 pagi. Aku masih ada setengah jam lagi. Aku tak mahu tunggu. Hujan pun hujanlah. Berbekalkan payung pink keluaran khas ‘Kempen Barah Payu Dara' yang dihiasi renda, aku dan Fizah meredah hujan lebat yang entah bila akan berhenti.
Baju kurung merah yang ku pakai habis basah. Aku menggigil kesejukan. Dari kejauhan aku nampak CRV warna maroon milik Amir meluncur laju. Kalau dapat tumpang kereta dia kan bagus. Aku berangan. Seperti terdengar kata-kata hatiku, tiba-tiba kereta anak orang kaya itu berhenti betul-betul di tepi aku dan Fizah. Masa itu aku lihat Fizah dan tersengih macam kerang busuk. Dah mulalah tu..! Cermin kereta diturunkan.
Amir ajak aku naik kereta dia? Macam tak percaya aje. “Mira marilah naik, hujan lebat ni.” Dia tahu nama aku? Mana dia tahu? “Kenapa tercegat lagi tu, jomlah naik woi.” Fizah menyergah aku. Aku lihat Fizah membuka pintu dan terus duduk di kerusi depan. Aku hanya mampu melihat. Ni dah lebih dah ni. Sabar Mira... hati kecil ku cuba memujuk.
Sebaik sahaja turun dari kereta, aku nampak berpuluh pasang mata melihat kami. “Jealous le tu kita dapat tumpang Amir,” bisik Fizah padaku. Aku hanya tunduk malu. Malu diperhatikan orang. Mereka hanya berbisik sesama sendiri. Kaum hawa pula asyik menjeling aku dan Fizah. Fizah ni tak perasan ke? Selamba je aku tengok.
“Mira nanti dulu!” Amir memanggil ku. Kenapa dia panggil aku? Alamak aku terlupa nak ucap terima kasihlah. Aku berpaling dan cuba senyum. Kelat. Senyum yang dibuat-buat. Aku malu ditenung begitu. “Pinjamlah dulu sweater saya ni, saya tahu Mira kesejukan, menggigil aje dari tadi.” Amir menawarkan sweaternya. Nak ambil ke tidak ni? Ambil, tak ambil, ambil, tak ambil... dalam masa aku masih teragak-agak nak menerima tawaran Amir, sweater Amir dah pun tersarung di tubuhku. Amir yang menyarungkannya. Aku hanya tunduk malu.
“Terima kasih,” ucapku.
Sebelum Amir berlalu pergi dia berbisik padaku. “Janganlah jual mahal sangat Mira, nanti tak mampu saya nak beli.”
Peristiwa pagi tadi masih segar dalam ingatan. Mujurlah aku dapat jawab paper Jurisprudence tadi dengan tenang. Wajah Amir kerap kali muncul dalam ingatan ku. Setiap kali wajahnya muncul, aku akan tersenyum. Shahrul yang duduk di meja sebelah ku, dah mula pandang semacam. Mesti dia ingat aku tak betul. Yalah orang lain berkerut dahi menjawab soalan, aku boleh rilek lagi. Dah tu senyum sorang-sorang. Tak kisahlah, yang penting aku tak kacau orang pun.
Apa maksud Amir aku jual mahal? Selama ini aku jual mahal ke? Agaknya kot! Kalau tidak, takkan Fizah boleh kata ramai pelajar lelaki bengang dengan aku. Yelah dah tiga tahun aku di menara gading ni, mana pernah aku terima huluran cinta dari mana-mana lelaki. Bukan takde yang approach, cuma aku aje yang tak mahu. Kalau tiba hari Valentine kalah pasangan yang bercinta, aku akan dapat banyak bunga, coklat dan hadiah. Semuanya dari kawan-kawan lelaki aku. Mereka semuanya mengharap cinta mereka bersambut. Tapi macam mana aku nak sambut, sedangkan aku sibuk mengejar hati aku yang Amir dah bawa lari. Amir memang pencuri hati yang kejam. Macam ni punya serius, Amir boleh kata aku ni jual mahal lagi.
---
Malam ini bulan terang. Amir laksana pungguk yang merindui sang bulan. Apabila hari siang bulan pun menghilang, impian tidak tercapai, hanya kecewa yang merantai. Mata Amir masih tidak mahu lelap. Dia terkedip-kedip memandang kipas yang ligat berputar. Hanya Amirah yang menghiasi kotak fikirannya ketika itu. Amirah gadis sederhana. Dia tidaklah terlalu cantik. Tapi orangnya bersopan-santun dan baik hati. Mata bundar milik gadis itu sering menjadi igauannya. Senyumannya acap kali menggetarkan hati lelakinya.
Peristiwa pagi tadi benar-benar membuatkan Amir tidak sabar. Tidak sabar untuk memiliki hati gadis idamannya itu. Amirah, tidak sudikah dikau pada diri ku atau kau masih tidak mengenali siapa aku sebenarnya?
---
Amirah masih tinggal dua paper lagi. Penghuni hostel dah ramai yang pulang ke kampung. Aku juga akan pulang ke Kampung Repoh empat hari lagi. Rindu pada kampung halaman tidak dapat ku bendung lagi. Tentu seronok. Padi sedang menguning. Tidak lama lagi waktu menuai. Bolehlah aku makan empeng buatan ibu. Walaupun aku gembira, namun di suatu sudut hati aku rasa agak kecewa kerana balik kampung bermakna aku pasti tidak dapat bertemu dengan Amir lagi. Alamak, aku masih tak pulangkan lagi sweater Amir! Buat harta benda sendiri le pulak.
Tiba-tiba pintu aku diketuk orang. Ni mesti Fizah. Kan betul sangkaan aku. “Kau nak apa cari aku ni?” Aku bersuara.
“Alah menziarah pun salah ke? Kau kena hormat tetamu tau!”
“Tetamu macam kau ni, dah tak layak dipanggil tetamu. Mana taknya 24 jam asyik bertandang bilik aku.”
“Alah, aku datang ni sebab Amir nak balik dia punya sweater. Kau buat harta ye?”
“Bila kau jumpa dia?” Aku hairan terkilan.
“Tadi...” Selamba Fizah menjawab. “Aku nak cepat ni, bak sini sweater tu, Amir dah tunggu aku kat bawah.”
Tanpa banyak soal aku ambil sweater dari dalam locker. Bau harum Soflan menusuk hidung ku. Aku hanya memandang kosong Fizah yang berlalu pergi. Riang dan ceria. Dalam hati kecil aku berkata , “I'm the loser!”
----
Syukur alhamdulillah. Paper akhir aku dapat jawab dengan baik. Aku melangkah keluar dari dewan dengan senang hati. Namun langkah aku mati tiba-tiba. Aku nampak insan yang benar-benar aku kenali. Seorang sahabat baikku dan seorang lagi lelaki pujaan ku. Aku datang menghampiri. Aku cuba berselindung di sebalik van. Aku harap mereka tidak perasan kewujudan aku di situ. Tiba-tiba aje aku rasa terpanggil untuk mendengar perbualan mereka.
“Amirah tak mahu jumpa awak. Dia tak suka awak mengganggu dia. Dia kata lagi... cermin dulu muka awak kalau ada hati nak berkawan dengan dia.”
Degupan jantung aku semakin kencang. Sandiwara apa yang aku saksikan ini? Aku tak pernah kata macam tu. Sampai hati kau Fizah.
“Kalau macam tu tak apalah, tapi tolong berikan surat ni pada dia. Mungkin lepas ni dia akan memahami isi hati saya.”
Aku dengar Amir pula bersuara. Dari cermin tingkap van, aku nampak surat yang bersampul biru muda bertukar tangan. Selepas itu aku nampak Amir berlalu pergi. Fizah masih tercegat di situ. Sebentar kemudian surat bersampul biru telah selamat dimasukkan ke dalam tong sampah. Aku nampak jelas Fizah tersenyum puas.
Apabila dia berlalu pergi, aku menuju ke tempat tong sampah tersebut. Mujur surat itu terletak elok. Tanpa membuang masa aku mencapai surat yang sepatutnya jadi milik aku. Aku toleh kiri dan kanan. Bimbang juga. Nanti apa pula orang lain fikir apa aku buat kat tong sampah tu.
Amirah yang dicintai..
Sudah sekian lama Amir menunggu saat kita dapat bertemu dan bermsera seperti dulu. Amir cuba tunaikan janji Amir pada Mira. Dulu Mira ada berpesan supaya mencari Mira. Tapi setelah Amir mencari Mira, mengapa Mira masih bersikap dingin terhadap Amir? Mata dan hati Amir telah mengenal pasti Mira inilah Amirah pujaan hatiku, tetapi malangnya hati Mira tidak dapat mengenal pasti kehadiran Amir agaknya!
Amir sering menghitung hari bila Mira dapat Amir miliki. Amir cuba jadi yang terbaik biarpun taklah sesempurna lelaki idaman Mira. Harapan Amir cuma satu, ingin dekat di hati Mira. Tunas sayang yang Amir pupuk sejak kecil lagi mustahil untuk Amir cantas hanya dalam sekelip mata. Amir pasti, hati Amir kini hanya dipenuhi oleh ingatan Mira!
Ketahuilah, Amirah hanya untuk Amir Lutfi.
Amir Lutfi b.Abd. Ghani
Ringkas bicara Amir. Tapi cukup untuk mengungkaikan segala rahsia. Memang sahih Amir Lutfi ini ialah anak pak long. Macam mana aku boleh tak perasan. Aku ingatkan nama penuh dia Amir aje. Kenapa Fizah sanggup buat aku macam ni? Tak sangka rakan yang aku anggap baik dan jujur selama ini mengkhianati aku? Di mana aku nak cari Amir? Pelbagai persoalan muncul dalam kotak fikiran ku. Namun perkara pertama yang aku mahu lakukan ialah aku mesti jumpa Amir. Mesti!
----
Sedang aku sibuk mengemas barang-barang yang hendak dibawa pulang, aku menerima tetamu. Mak Long! Mak Long terus mendakap ku dan mencium dahi ku dengan penuh sayang. “Mira ikut Mak Long ke lobi bawah sebentar nak. Pak long nak jumpa Mira.”
Aku kehairanan. Namun aku hanya menurut sahaja kata-kata Mak Long ku iaitu ibu Amir. Pak long tak banyak berubah. Walaupun rambutnya sudah beruban, orangnya masih segak seperti dahulu.
“Apa khabar Mira?” Tanya Pak Long sambil mengusap-usap rambut ku dengan mesra.
Mengapa tiba-tiba mereka datang berjumpa dengan ku? “Sihat walafiat Pak Long.” Itu sahajalah yang mampu aku ucapkan.
“Mira dah jumpa Amir kan?" Tanya Pak Long.
Aku mengangguk menunjukkan tanda ya.
“Mira suka Amir tak?”
Aku benar-benar terkejut dengan soalan yang diajukan oleh Mak Long. Aku tiba-tiba jadi serba-salah, malu dan resah. Tak sangka mereka begitu terbuka dalam soal aku dan Amir. Namun akibat tidak dapat menanggung rindu yang selama ini terbungkam dalam sanubari ku, aku terus mengangguk sekali lagi menandakan ya.
“YES............!”
Tiba-tiba aku terdengar satu suara lelaki menjerit gembira dan wajah kacak Amir muncul tiba-tiba. Muka ku berubah menjadi merah padam. Perasaan malu bercampur gembira membuatkan aku tersenyum tersipu-sipu. Ketika itu tiba-tiba sebuah kereta Proton Waja, berhenti di hadapan lobi.
Hati ku mula berdegup kencang melihat kedua-dua ibu dan bapa ku melangkah keluar dari kereta tersebut dan menuju ke arah kami. Aku risau mereka akan berperang sekali lagi. Perasaan tegang ku menjadi renggang apabila Pak Long bersalam dengan ayah dan Mak Long berpelukan dengan ibu ku.
Bapa ku seperti mengerti pergolakan hati ku lalu berkata, “Amir dah lama mengenali Mira. Beberapa minggu yang lepas Pak Long dan Mak Long Mira datang ke rumah kita. Mula-mula, memang ayah dan mak terkejut dengan kehadiran mereka, tapi setelah mendengar segala penerangan mereka dan hajat mereka untuk meminang Mira untuk Amir kami mula faham segala-galanya. Kami tak mahu masalah kami menjadi batu penghalang antara Mira dengan Amir.”
Mira terus memeluk erat bapanya. “Ayah, ibu terima kasih kerana benar-benar memahami perasaan Mira dan Amir. Terima kasih...!” Air mata gembira mengalir dari mata bundar Mira.
“Ehem... kalau semua dah ok... Amir cadangkan baik Amir masuk meminang Mira secepat mungkin, dan yang pasti hari raya tahun ini akan kita sambut dengan meriahnya di Kampung Mentuan, ok tak!” kata Amir dengan penuh bangga.
Semua mengangguk menyetujui kata-kata Amir sambil ketawa. Ya Allah... kekalkan suasana riang ini untuk selama-lamanya! Buat pertama kali mata Mira dan mata Amir bertentangan dengan penuh makna!
Sunday, August 16, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment