CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Ikut Kata Hati

MY HEARTBEAT!

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Thursday, February 25, 2010

++pelangi terindah++

Hari itu saya bekerja seperti biasa. Masuk seawal jam 8.30 pagi. Sama seperti kebanyakan dari mereka yang mencari rezeki dengan makan gaji seperti saya. Hampir serupa dengan burung-burung yang berterbangan keluar dari sarang masing-masing, bertebaran terbang berkawan di awan. Bezanya mereka keluar mencari rezeki, barangkali cacing untuk mengisi perut, tetapi saya bekerja untuk dapatkan wang gaji.

Sesungguhnya Allah menciptakan dunia ini, bumi yang terhampar meluas, tumbuh-tumbuhan dan hujan yang turun, salah satunya adalah untuk manusia melata mencari rezeki, dan rahmat Allah tidak terhitung banyakknya, cuma terserah kepada kita bagaimana mendapatkannya. Tahu bezakan mana yang halal atau tidak.

Sewaktu menjejak kaki keluar dari kereta, melangkah menuju ke arah pintu ofis, cuaca pagi itu baik, cerah dan awan putih menghias langit biru. Subhanallah. Indahnya ciptaan Allah. Matahari pagi mula mengintai dari celah-celah awan, belum kelihatan wajahnya, namun cahayanya sudah bisa menjamah kulit, menyilaukan mata.

Saya berkira-kira, hari ini panas pasti hingga ke petang. Kaki terus melangkah masuk ke tempat kerja.

Selesai makan tengah hari dan solat Zohor, suara deruan angin kencang seakan 'naga mengaum' menyentuh cuping telinga saya. Selalunya, bunyi 'menakutkan' itu hadir bersama hujan lebat. Mungkin kerana ofis saya agak tinggi, bunyi angin yang kuat itu agak 'aneh' dan saya sendiri pernah kata, bunyinya seolah-olah 'alien' sedang bertebaran sekeliling opis kami, disokong oleh rakan sekerja yang lain.

Memang selama saya hidup, bunyi sebegitu tidak pernah didengari di mana-mana tempat lain. Hanya di situ, tempat kerja saya itu, pertama kali saya mendengarnya. Ketika mula-mula berhadapan dengan keadaan tersebut, ia agak menakutkan dan mampu menegakkan bulu roma saya.

Tambah-tambah lagi bila saya menjenguk keluar opis melalui cermin tingkap, langit yang hitam pekat dan daun-daun berterbangan tidak tentu hala benar-benar menakutkan, gambaran kiamat sering berlegar di minda saya.

Lama-kelamaan, setelah panorama itu sering terjadi berulang kali, saya mula mampu mengadaptasikan diri dengan keadaan tersebut, sedikit demi sedikit perasaan takut itu mula hilang, namun tidak sepenuhnya. Bunyi angin berderu kuat dan kilat sambung menyambung.

Saya cuba berlagak biasa walaupun perasaan gerun berjaya menjentik hati saya. Meneruskan kerja-kerja saya seperti biasa. Sambil membayangkan awan hitam dan hujan lebat di luar sana. Biarlah, hujan atau panas, semuanya dari Allah, semuanya ciptaan Allah. Saya cuba memujuk diri walaupun sebenarnya jauh di dalam hati ini perasaan gundah bermaharajalela.

Bukan kenapa, pernah satu ketika, ketika hujan lebat dan petir sambung menyambung, kami satu opis pernah bergelap akibat petir yang menyambar dan pernah juga ia menyambar bumbung opis menyebabkan sebahagian bumbung pecah. Trauma barangkali. ^_^

Setelah beberapa jam bumi menangis, Alhamdulillah, akhirnya hujan berhenti jua. Tiada lagi suara angin yang pelik. Tiada lagi bunyi petir membelah langit. Langit hitam kembali cerah. Perasaan suram dan hiba kembali ceria. Matahari yang tadinya menyorok kini kembali beraksi, mempamerkan wajahnya. Syukur Ya Rabb.

Lebih kurang 9 jam berlalu. Kini waktu bekerja sudah tamat, saya mengemas meja dan menutup suis komputer. Bersedia untuk pulang ke rumah. Malam hampir tiba, siang kian berlalu pergi, saya mahu segera pulang. Segera bergegas ke luar dari opis.

Sebaik sahaja melangkah keluar dari pintu opis, saya memandang ke langit. Subhanallah. Di hadapan mata saya, terbentang indah sebuah pelangi yang 'sempurna' sifatnya. Maha Suci Allah. Berpuluh tahun saya hidup, ini pertama kali saya melihat matahari yang seindah itu.

http://i203.photobucket.com/albums/aa32/Viper13_31/rainbow.jpg
Lebih indah dari ini

Merah, jingga, kuning, hijau, biru, indigo dan ungu. Tujuh warnanya terang, tersusun tertib. Sangat besar menghias dada langit. Bentuknya 180 darjah, separuh bulatan benar-benar tegak di hadapan mata saya. Hanya lafaz Subhanallah yang mampu saya ucapkan. Ini pelangi yang terindah yang pernah saya lihat.

Namun kerana saya mengejar masa, mahu segera pulang, saya cuma berkesempatan untuk menikmati keindahan pelangi itu cuma untuk beberapa minit sahaja. Kononnya, imej pelangi yang indah itu sudah terakam kemas dalam kotak memori saya, kononnya, saya boleh 'recall' rupa sang pelangi itu bila-bila masa saya mahu, dan kononnya, mungkin saya berpeluang bertemu dengan matahari seindah itu lagi, atau mungkin lebih indah dari itu.

Saya memasang angan lalu segera menghidupkan enjin kereta, berlalu pergi meninggalkan matahari yang indah itu, walaupun berkali-kali saya menoleh ke belakang untuk melihatnya sekali lagi, namun lama-kelamaan, sang pelangi yang indah itu sirna jua dari pandangan mata saya. Hilang.

Sejak dari hari itu, saya ibarat sang perindu. Sering merindui pelangi yang indah itu. Sekadar membayangkan di minda tidak memadai. Mencari di laman web pelangi yang seindah itu juga tidak mampu mengubat rasa kerinduan. Setiap kali hujan lebat berlalu, saya sering mendongak ke langit, mengharapkan pelangi yang indah itu sekali lagi mengunjungi saya.

Sering juga saya tercari-cari di dada langit sebaik sahaja melangkah keluar dari pintu opis. Ah, sungguh! Saya benar-benar menjadi sang perindu.

Terbit rasa kesal kerana tidak menikmati keindahan pelangi terindah itu sepuas-puasnya. Mula menyalahkan diri kerana tidak merakamkan ciptaan Allah itu dengan menggunakan teknologi yang kian canggih. Muhasabah diri sendiri, supaya kelak lebih menghargai apa yang saya miliki dan jangan terlalu berharap kepada sesuatu yang tidak pasti.

Itu antara pengajaran yang dapat saya kutip. Anda membaca, anda menilai.

Cerita saya mungkin sekadar cerita biasa, namun saya percaya, setiap dari kita mempunyai perpektif dan penilaian yang berbeza. Bergantung kepada pengalaman yang kita lalui, cara pemikiran kita dan matlamat hidup kita.

http://farm3.static.flickr.com/2461/3550569795_61f6152fcf.jpg?v=0
Jangan berputus asa, pandang ke depan.

Ingat lima perkara sebelum datang lima perkara yakni kaya sebelum miskin, sihat sebelum sakit, lapang sebelum sempit, sihat sebelum sakit dan hidup sebelum mati. Hidup cuma sekali, dan hidup di dunia ini cuma sementara. Buatlah amal, kumpullah bekalan sebanyak yang mungkin untuk menempuhi hidup yang abadi di akhirat sama.

Biarkan yang berlaku terus berlalu kerana yang berlalu tidak mungkin akan berlaku lagi. Past is past, done is done. Yang penting adalah bagaimana kita mengambil ibrah dan iktibar dari apa yang telah kita lalui, agar dapat memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik.

Hargailah pelangi yang kita miliki, mungkin itu kali terakhir kita mampu melihatnya. Dan mungkin juga itulah pelangi yang paling indah yang pernah kita nikmati seumur hidup kita. Ia pergi dan takkan kembali lagi. Dan biarpun pada mata insan lain, pelangi itu tidak sesempurna mana, jangan biarkan mereka menggoyah keyakinan kita, teruslah percaya dengan apa yang kita percayai, bersyukurlah dengan apa yang ada.

Pesanan buat diri sendiri, supaya sentiasa berfikiran positif, berlapang dada dan berbaik sangka terhadap apa jua yang menimpa diri. Sesungguhnya Allah tidak menciptakan sesuatu hanya untuk sia-sia, walau sebesar zarah sekalipun, pasti ada hikmah yang tersembunyi, cuma terserah kepada kita bagaimana mahu mengambilnya sebagai iktibar. Berkali-kali disebut dalam kitab suci Al-Quran, di sebalik kesulitan ada kemudahan, InsyaAllah.

http://farm3.static.flickr.com/2585/4166015546_3e7987e21b.jpg
Berserah dan bertawakkal kepada Allah.

Ingatkan saya andai saya lupa, perbetulkan saya andai saya silap. Teguhkanlah saya andai saya lemah, pimpinlah saya andai saya terjatuh Terangilah saya andai saya kegelapan, tunjukilah saya andai saya kesesatan. Ayuh! Berjalanlah bersama-sama saya, jangan di belakang atau di hadapan. Saya tak mungkin selamanya mengekori dan tak mungkin selamanya memimpin. Kerana saya insan yang lemah, yang tidak mungkin mampu berdiri seorang diri. Ukhwah fillah.

sumber: i luv islam


++kate hati eiykinsshi:sy tgh tggu pelangi nie...tp xujan lak..gelap je dr td....huhuhu++

:)


No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin